Kalangan penduduk kaum India di kawasan Parlimen Kuala Kangsar tetap memilih calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid meskipun timbul isu edah, kerana menghormati tuntutan agama yang perlu dipenuhi beliau.

Mereka berkata, kaum India amat menghormati agama lain dan justeru itu, walaupun calon BN itu tidak dapat berkempen kerana mematuhi agama, mereka akan memberikan sokongan jitu kepada Mastura.

Ini bagi mengekalkan kerusi Parlimen itu di tangan BN pada pilihan raya kecil (PRK) 18 Jun ini, kata mereka, sambil mengenang ahli Parlimen sebelum ini, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang banyak berjasa membantu masyarakat India di kawasan itu.

Mastura, balu Wan Mohammad, tidak akan menyertai kempen pilihan raya seperti amalan biasa dalam BN kerana masih berada dalam tempoh edah empat bulan 10 hari selepas kematian suaminya yang terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak 5 Mei lalu.

Ketua MIC Bahagian Kuala Kangsar, Datuk M. Bhopalan, 80, berkata, beliau dan masyarakat India menganggap isu edah itu sebagai satu tuntutan agama dan ia tidak akan mendatangkan masalah kepada BN untuk memenangi PRK itu nanti.

“Apabila kita anjurkan aktiviti masyarakat, kedua-duanya (Wan Mohammad dan Mastura) sentiasa turun. Semua rakyat India memang kenal Datin Mastura.

"Jadi, kalau dia tidak hadir kerana mengikut agama, itu tak jadi masalah. Kita hormat. Semua kaum ada adat. Patut ikutlah. Tidak ada masalah untuk kita. Jadi, kita terus bagi sokongan kepada beliau,” katanya.

Seorang peniaga, A. Ramachandran, 40, berkata, baginya isu edah tidak menjadi masalah kerana jentera BN sentiasa berganding bahu menggembeling tenaga membantu Mastura memenangi kerusi Parlimen itu.

“Datin Mastura merupakan seorang yang dikenali, popular di kalangan masyarakat India, sebab beliau selalu berdamping dengan Datuk Wan di semua program, tidak kiralah program Pongal, hari Deepavali.

"Datin cukup rapat dengan masyarakat India. Jadi, saya rasa perkara ini tidaklah menjadi satu satu isu hangat untuk kami dan saya cukup yakin dengan keputusan pucuk pimpinan BN yang mencalonkan Datin Mastura.”

Mastura dikatakan mempunyai lima kriteria sebagai calon yang bakal bertanding menentang wakil dari PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad.

Di antara kriteria yang disebut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini ialah, beliau mengenali sepenuhnya keadaan kawasan Parlimen itu selain turut bergelumang dengan masyarakat akar umbi di kawasan berkenaan selama ini.