Pengundi di Johor dinasihatkan agar tidak tertipu dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak berminat untuk membangunkan negeri itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, agenda utama Dr Mahathir adalah untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) daripada terus memerintah Johor.

Jelasnya, Dr Mahathir juga seorang individu yang bersifat narsisme atau mengagumi diri sendiri.

"Memang beliau rasa beliau terbaik, tak ada orang terbaik dari beliau. Kalau beliau (Dr Mahathir) dijadikan perdana menteri semula, beliau akan balik semula ke zaman beliau dan kembali semula ke perangai narsisitik dan merasakan diri beliau sendiri yang paling baik," kata Nur Jazlan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Kempas, Johor.

Jelasnya lagi, ketika pemerintahan Dr Mahathir, hubungan antara Malaysia dan Singapura bukan dalam keadaan yang terbaik.

Kata Nur Jazlan, ia ternyata berbeza dengan pemerintahan di waktu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mampu mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.

Kejayaan tersebut umpama menggambarkan bahawa Dr Mahathir tidak berusaha untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara ketika mengetuai Malaysia selama 23 tahun.

Tambahnya, Dr Mahathir juga selama ini tidak mempersoalkan dasar yang dibuatnya, sebaliknya menyerang Najib sebagai agenda utama untuk menjatuhkan beliau.