"Pilih wartawan yang janjinya telah dan sedang dilaksanakan atau pilih ratu cantik yang baru mula menabur janji...

Demikian persoalan Calon Barisan Nasional (BN) N.11 Kiulu Datuk Joniston Bangkuai yang merujuk kepada calon daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) Jo Anna Sue Henley Rampas yang turut bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Joniston berkata, rakyat perlu bijak dalam memilih pemimpin di kawasan berkenaan dengan melihat kepada rekod sumbangan kepada rakyat di Kiulu dan bukannya melihat kepada janji yang masih kabur dan belum tentu dapat dilaksanakan.

"Saya lebih selesa jika ada tumpuan terhadap saya kerana 'track record' saya dalam melaksanakan pembangunan sepanjang saya berkhidmat di Kiulu, saya rasa itu lebih bermakna.

"Kita (BN) juga bukan baru mahu menabur janji kerana apa yang kita rancangkan untuk pembangunan di Kiulu kita telah mula melihat hasilnya terutama dalam sektor pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Pelancaran Pertandingan Kedai dan Kampung Tercantik Kiulu 2018, hari ini.

Jo-Anna yang dinobatkan sebagai Ratu Cantik atau Unduk Ngadau Kaamatan 2007 menjadi tumpuan selepas dicalonkan di N.11 Kiulu kerana memiliki rupa paras yang cantik. Beliau juga merupakan graduan undang-undang dari sebuah universiti di United Kingdom.

Joniston turut menyatakan, usaha beliau dalam menaikkan nama sektor pelancongan di daerah kecil itu tidak bertujuan untuk mengabaikan sektor lain seperti penanaman getah namun ia merupakan usaha bagi menambah peluang kepada penduduk untuk mencari sumber pendapatan.

Sementara itu, bagi Jo Anna Sue yang pernah ditemu bual mahu mengangkat pekan Kiulu dan memberi peluang penduduk di kawasan itu menambah pendapatan.