Keperibadian seseorang calon wakil rakyat memberi kesan langsung kepada masyarakat dalam memberikan undi kepada mereka.

Masyarakat di Indera Mahkota yang merupakan salah satu kerusi saingan sengit di Pahang mahu memilih seorang wakil rakyat yang berwibawa tinggi selain berbakti kepada masyarakat.

Malah penduduk tempatan menasihati calon-calon pilihan raya Parlimen Indera Mahkota untuk mencontohi sifat kepimpinan Nabi Muhammad SAW yang dilhat sebagai contoh kepimpinan terbaik.

Seorang peniaga ayam goreng, Amin Nasirin Che Abdul Rahman, berpendapat bahawa seorang wakil rakyat harus mempunyai sifat jujur dan bertangguungjawab.

“Pada pendapat saya, seorang wakil rakyat haruslah mempunyai empat sifat nabi sekurabng-kurangnya. Salah satunya adalah as-siddiq, iaitu sentiasa bercakap benar.

"Kedua adalah amanah. Dia haruslah sentiasa amanah dan jujur dalam melakukan pekerjaan dia agar kita rakyat tidak merasa tertipu.

"Ketiga adalah tabligh. Dia haruslah memyampai berita-berita yang benar sahaja dan bantulah kami rakyat yang memilih dia ni.

"Yang keempat ialah fatanah. Mesti bijaksana dan mempunyai akal yang cerdas dan cergas untuk membantu kami rakyat." ujarnya.

Sementara itu, Fuad Mohd Karim, 72 tahun, berkata seorang wakil rakyat itu juga harus mudah didekati dan sentiasa turun padang membantu rakyat.

“Pertama sekali dia mesti berjiwa rakyat. Dia mudah didekati, senang berbicara dan apa yang perlunya dia mesti memahami kehendak-kehendak warga setempat ataupun masyarakat.

"Jadi sebagai pemimpin, dia kena ambil perhatian bab-bab ini semua. Memang mesti. Kalau wakil rakyat seorang yang sombong memang akan dimarahi dan dibenci. Ini akan merugikan dia sendiri lah," kata Fuad.

Halimaton Mohd Yusof, 64 tahun, pula berpendapat sikap rendah diri juga dilihat pengundi Indera Mahkota sebagai faktor positif dalam memilih calon yang boeh mewakili suara mereka di peringkat tertinggi.

"Kalau boleh, saya nak wakil rakyat tu seoarang yang baik hati, rendah diri, mendengar rintihan masyarakat dan juga sanggup turun padang untuk bertemu dengan masyarakat. Itu sangat penting, kalau tidak masyarakat susahlah nak percayakannya," ujar Halimah.

Indera Mahkota bakal melihat pertembungan tiga penjuru antara Pas yang diwakili Nasrudin Hassan Tantawi, Datuk Saifuddin Abdullah yang mewakili Keadilan (PKR) dan Barisan Nasional yang menampilkan muka baharu, Datuk Dr. Johan Mat Sah.