Ramai golongan muda yang layak mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Apabila ditanya mengenai harapan politik mereka, jawapan yang diberi, mereka 'mahukan perubahan itu, penambahbaikan ini'.

Tetapi, apabila ditanya mengenai lokasi mengundi dan jika mereka akan turun mengundi, jawapan yang diberi, "Tengok dulu kalau ada masa lapang," atau "Lokasi mengundi jauh, tidak apa, kita sokong sahaja nanti siapa yang menang."

Pastinya sukar untuk mengubah atau mengekal sesuatu andai tidak turun mengundi, bukan?

Demikianlah senario kini dimana ramai golongan muda yang berfikir banyak kali sebelum turun mengundi, sama ada yang pernah mengundi ataupun pengundi pertama kali.

Tinjauan wakil Astro AWANI Sabah, Ridzal Abdullah sempat menemubual pengundi muda dari tiga daerah di pantai timur Sabah.

Saloziah Zali, 25 tahun, dari Kunak, berkata dia memang mengikuti perkembangan semasa politik negara, namun dia belum pernah mengundi lagi kerana dia baru tamat pengajian tinggi di Kuala Lumpur.

"Agak janggal rasanya sebab saya rasa saya masih terlalu muda, tetapi saya akan cuba untuk turun mengundi. Selama ini saya tak ambil kisah sangat (tentang mengundi) sebab Mama dan Bapa yang aktif politik, saya cuma ikut perkembangan," katanya.

Saiful Azizul Nashruddin, 39, dari Lahad Datu, berkata banyak faktor yang perlu difikirkan sebelum turun mengundi.

"Faktor jarak tempat mengundi paling penting, kerana orang muda ni, kalau terasa susah sedikit mula malas untuk turun mengundi. Tetapi syukur, saya mengundi di daerah saya lahir dan menetap, di Lahad Datu, namun ada juga saudara-mara saya yang menetap dan kerja agak jauh seperti di Kota Kinabalu, dan perlu balik ke Lahad Datu untuk mengundi nanti," katanya.

Bagi Estella Valeria David, 32, yang menetap di Batu 30 Sandakan, dia yang berasal dari Penampang terpaksa balik mengundi untuk kali kedua walaupun terdapat kekangan masa dan kewangan.

"Ini demi menentukan nasib negara kerana satu undi itu penentu dan amat bermakna," katanya.