Pengundi-pengundi, baik di Sungai Besar atau Kuala Kangsar tidak perlu berasa keliru sama ada ingin mengundi PAS atau Parti Amanah Negara (Amanah), kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Tidak perlu keliru. Kalau ingin menggunakan Pilihan Raya Kecil ini sebagai referendum terhadap Barisan Nasional, undilah Amanah," jelas Dr Wan Azizah.

Beliau memberi respon sedemikian selepas ditanya mengenai kekeliruan yang bakal dihadapi pengundi berikutan kedua-dua PAS dan Amanah menggunakan pendekatan yang sama untuk meraih pengundi.

Dr Wan Azizah ditemui ketika beliau turun berkempen bersama calon Amanah, Azhar Abdul Shukur di Bazar Ramadan di Pekan Sungai Besar petang ini.

Beliau diiringi anaknya, Nurul Izzah Anwar yang juga merupakan Naib Presiden PKR.

Apabila ditanya tentang kenyataan PAS bahawa calonnya yang wajar diundi berdasarkan prestasi sebelum ini, Nurul Izzah menjawab Amanah punyai reputasi yang cukup baik untuk melayakkan Azhar ke Parlimen.

"Kalau berdasarkan 'track record', Amanah bersama PKR dan DAP di Parlimen telah bersama-sama menentang Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara serta pelaksanaan GST.

"Saya percaya ini cukup sebagai bukti untuk menghantar Azhar ke Parlimen," kata Nurul Izzah.

Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad telah dilaporkan berkata bahawa calon PAS wajar dipilih oleh pengundi untuk dijadikan sebagai referendum kepada Barisan Nasional.

Tambahnya, kewajaran tersebut adalah berlandaskan prestasi parti tersebut sebelum ini yang jauh lebih lama berbanding Amanah.