Kerajaan Pas Kelantan mengakui era pentadbiran perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih baik berbanding era Tun Dr Mahathir Mohamad dari segi hubungan Kerajaan Negeri dan Pusat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimana pun menjelaskan walaupun Kelantan dilimpahi projek pembangunan namun masih banyak perkara yang perlu dilakukan Kerajaan Pusat termasuk mengembalikan hak royalti petroleum kepada negeri itu.

“Kalau kita nak banding zaman Dr Mahathir dan Abdullah dan PM Najib memang Tun dan PM Najib lebih baik dari segi hubungan tapi banyak lagi tidak dilaksanakan oleh Persekutuan. Walaupun ada bantuan sumbangan tidak dinafikan tapi ada lagi benda bagi kita besar contohnya royalti bagi kita ianya (isu) besar.

“Sebab kita hubungan ‘federalisme’ itu kena faham tidak ada negeri boleh survive tanpa bantuan Pusat dan Pusat juga memerlukan Negeri untuk bantu, macam cukai dan sebagainya,” katanya.

Moh Amar merujuk kepada ucapan PM Najib sewaktu kunjungan ke Kelantan pada Ahad yang memaklumkan bantuan untuk Kelantan lebih baik semasa pentadbirannya berbanding era Tun Dr Mahathir yang dilihat banyak meminggirkan Kelantan.

Dalam ucapannya di hadapan penjawat awam, PM Najib juga memaklumkan Kerajaan Pusat turut menyalurkan bantuan kewangan kepada Kerajaan Negeri untuk membantu membiayai kos pengurusan pentadbiran Kerajaan Negeri.