PAS masih kekal relevan dalam senario politik tempatan dan tidak akan tergugat selagi mendapat sokongan besar orang Melayu.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, ia terbukti apabila Gerakan Harapan Baru (GHB) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih gagal menarik kepercayaan orang Melayu terutama mereka yang merupakan ahli PAS.

"Sebagai contoh lihat sahaja kepada kurangnya penglibatan orang Melayu dalam perhimpunan Bersih 4 yang lalu, ternyata mereka gagal menarik sokongan kaum itu.

"Senario itu tidak berlaku dalam perhimpunan sebelum ini, ketika PAS masih masih mempunyai kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.

Dr Mustafa berkata demikian bagi mengulas kedudukan PAS selepas pengumuman penubuhan Parti Amanah oleh Pengerusi GHB, Mohamad Sabu pada 31 Ogos lalu.

Parti Amanah akan dilancarkan secara rasmi pada 16 September ini termasuk pelancaran logo dan portfolionya.

Mohamad Sabu turut menyatakan keyakinan lebih ramai akan menyertai Amanah bukan sahaja daripada kalangan umat Islam, tetapi juga penganut agama lain.

Dalam perkembangan lain, ditanya apakah perhimpunan Bersih 4 akan membawa perubahan besar kepada senario politik tempatan, ini kata Mustafa: "Impaknya mungkin biasa sahaja, apatah lagi ia begitu didominasi oleh satu kaum. Ternyata garis perkauman membelenggu Bersih 4 kali ini.

"Kita cuba bandingkan dengan demonstrasi di negara lain. Thailand dan Indonesia misalnya mengadakan demonstrasi berterusan bagi menuntut sesuatu. Perhimpunan 34 jam secara one-off barangkali tidak membawa banyak perubahan besar."

Perhimpunan Bersih 4 yang diklasifikasikan sebagai haram berakhir tepat jam 12 malam 31 Ogos lalu selepas berlangsung selama 34 jam bermula 29 Ogos.

Perhimpunan itu menuntut diadakan pilihan raya bebas, sebuah kerajaan yang telus, hak untuk berdemonstrasi, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara.