Kumpulan penyokong perhimpunan #KitaLawan meneruskan perarakan solidariti mereka hari ini meskipun diberikan amaran oleh polis yang perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran.

Dianggarkan sekitar 150 hingga 200 penyokong kumpulan terbabit berarak di jalan-jalan utama ibu negara sambil melaungkan slogan menuntut pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perarakan bermula pada jam 5.10 petang di pusat membeli-belah Sogo di ibu negara sebelum kumpulan terbabit tiba di Taman Suria KLCC pada jam 6.05 petang.

Keadaan di jalan-jalan utama seperti Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang turut sesak namun berjaya dikawal anggota polis bertugas.

Pada 10 Feb lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar selepas mendapati Anwar bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.