Keutamaan kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk memerangi gejala rasuah dan jenayah kewangan menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, daripada laporan yang beliau perolehi, tiada lagi kes rasuah berskala besar manakala kes rasuah kecil juga telah berkurangan.

Pada masa sama. jelasnya lagi kerajaan akan menunaikan semua janji manifesto secara berperingkat bergantung kepada keadaan.

“Keutamaan adalah rasuah, kami telah luluskan banyak undang-undang berkaitan rasuah dan kita wujudkan agensi baharu (berkaitan rasuah) sebab kita serius mengenainya.

“Berdasarkan laporan yang kami terima, gejala rasuah besar sudah tiada, (dan) Perdana Menteri tidak lagi mencuri wang sepertimana yang diketahui oleh SPRM.

“Sehingga kini kita telah berjaya melaksanakannya walaupun ia (rasuah) dalam bilangan yang kecil,” kata Dr Mahathir.

Tambahnya, kebanyakan janji telah pun dilaksana namun masih ada masa untuk melaksanakan yang selebihnya.

“Kita janji untuk lima tahun, ini belum lima tahun lagi. Tetapi ada yang kita sudah capai, ada yang kita capai separuh sahaja dan kita ada masa lagi untuk melaksanakan yang belum dicapai sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Nasional Janji Kerajaan di Perdana Putra pada Khamis.