Percaturan sebenar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Terengganu adalah antara Barisan Nasional (BN) dan Pas walaupun Pakatan Harapan (PH) turut menampilkan calonnya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, realitinya rakyat Terengganu hanya mempertimbangkan untuk memilih antara dua parti berkenaan.

Menurut Ahmad Shabery, berdasarkan kekuatan jentera, BN yakin mampu merampas kembali kawasan yang tewas sekali gus mengekalkan kuasa di negeri itu dengan pencapaian lebih baik.

"Terengganu akan mengekalkan pemerintahan di tangan BN, saya percaya rakyat tidak akan memperjudikan nasib mereka kepada satu kerajaan yang tidak menentu dan tahu dari segi hala tuju mereka.

"Kita juga akan melihat di Terengganu parti-parti tertentu yang dulu dianggap besar akan menjadi parti serpihan misalnya PKR dan Amanah akan dilihat menjadi parti kecil selepas ini dan saya percaya sebahagian akan mengalami kekalahan yang teruk.

"Akhirnya dari segi realiti politik dalam negara kita parti untuk orang Melayu ada dua sahaja UMNO dan juga Pas dan pilihan raya kali ini cukup memberi impak baru kepada landskap politik di masa akan datang," kata Shabery yang ditemui selepas melawat Tapak Pasar Tani Kekal (PTK) Kerteh di sini siang tadi.

Ahmad Shabery akan mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman pada PRU14 berdepan Che Alias Hamid dari Pas dan Mohd Huzaifah Md Suhaimi dari PKR yang mewakili Pakatan Harapan.

Manakala bagi kerusi DUN, BN mengekalkan penyandang kerusi DUN Kemasik, Kijal dan Air putih serta mencalonkan semula bekas ADUN Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera.