Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak memberi sebarang hasil terutama sekali berkaitan dengan agenda Melayu dan bumiputera.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebagai parti yang kononnya ditubuh bagi menganti dan menjadi lebih baik daripada UMNO, pastinya ramai ternanti-nanti apa agenda dan hala tuju yang dibawa parti itu.

Malah, menurutnya, ada perwakilan yang mendakwa ucapan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih menjurus kepada kritikan ke atas pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebagaimana yang diluahkan beberapa wakil Pemuda PPBM berpendapat perhimpunan itu hanya berkisar kritikan Tun M kepada Najib sahaja.

"Tiada perkara khusus bercakap soal masa depan pendidikan, ekonomi, agama apatah lagi berkaitan agenda Melayu dan bumiputera.

"Nampaknya perhimpunan ini hanya mengelakkan PPBM dibatalkan pendaftaran atau tidak melayakkannya menyertai PH. Itu sajalah tujuan nampaknya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Janji Mahathir mengenai kebebasan bersuara sukar dipercayai - Salleh

BACA:
Minta maaf, ia adat orang Melayu - Tun M

Selain itu, Shamsul berpendapat PPBM ditubuhkan hanya bagi melunaskan dendam Dr Mahathir dan beberapa lagi pemimpinnya kepada UMNO khususnya Najib.

"Apapun hakikat sebenarnya rakyat mesti faham bahawa PPBM bukan parti dominan dalam PH. Saya tidak fikir PPBM akan bertanding lebih banyak kerusi daripada parti-parti lain dalam PH.

"Timbalan Presiden PPBM sendiri sudah bayangkan dalam ucapannya, bila dia berkata Dr Mahathir layak jadi PM walau PPBM nanti tidak menang kerusi terbanyak dalam PH," ujanya.

Oleh itu kata Shamsul, perkara sebenar yang mesti diingat adalah PPBM tidak mampu untuk membawa agenda Islam, Melayu dan bumiputra dalam perjuangan PH.

"Jadi bagi orang Melayu dan Islam, kalau DAP menentang Islam, PKR membawa semangat kesamarataan, PAN dengan liberalnya maka di mana akhirnya agenda Melayu, bumiputra dan Islam?

"Apakah hanya sekadar tertulis dalam Perlembagaan sahaja? Situasi ini perlu kita fikirkan dan mereka sangat berbeza kalau hendak dibandingkan dengan permaufakatan dalam BN," jelasnya.


BACA: Umum barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang tepati kehendak rakyat - Muhyiddin

BACA:
Pengasingan kuasa akan kembali jika Pakatan memerintah - Tun M

Selain itu Shamsul menyifatkan permohonan maaf Dr Mahathir lebih kepada usaha memohon maaf kepada DAP dan PKR.

"Ia sebahagian usahanya menarik simpati apatah lagi Dr Mahathir belum lagi secara muktamad disokong sepenuhnya sebagai calon PM.

"Maknanya tiada keiklasan dalam permohonan maaf Dr Mahathir, retorik semata dan hanya mahukan sokongan.

"Dr Mahathir akan tetap dengan sikapnya yang tidak mengaku salah atas setiap perbuatannya termasukanlah isu Memali apabila secara tiba tiba menyalahkan mufti atas peristiwa berkenaan," katanya.