Kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2015 pada awal bulan hadapan akan membawa pengertian besar kepada perhimpunan itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perbezaan pendapat yang wujud antara mantan perdana menteri itu dengan beberapa pemimpin sekarang tidak harus menjejaskan kesatuan dalam parti.

"Kesatuan (UMNO) yang dibina terpasak kuat bertahun-tahun dan jangan kita hancurkan ia hanya disebabkan perselisihan pandangan," katanya ketika diminta mengulas jemputan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada bekas presiden UMNO itu untuk menghadiri perhimpunan parti nanti.

Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau bersedia ke perhimpunan tahunan itu sekiranya menerima jemputan.

Reezal Merican, yang juga Timbalan Menteri Luar, berkata adalah janggal sekiranya Dr Mahathir atau Tun Abdullah Ahmad Badawi, dua bekas presiden parti itu, tidak dijemput ke perhimpunan yang dijadual dari 8 hingga 12 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

"Kita ada adab, akhlak dan budaya kita sendiri serta sudah menjadi tradisi dalam UMNO juga kita menghormati pemimpin yang lalu," katanya selepas menyampaikan bantuan peralatan perniagaan bernilai RM200,000 kepada 41 penerima di bawah Program 1Azam Parlimen Kepala Batas, di sini pada Ahad.

BACA: Usah bercakap tentang demokrasi kalau hak bersuara dihalang - Dr Mahathir

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican, yang juga anggota Parlimen Kepala Batas, berkata tindakan DAP menubuhkan enam cawangan baharu di kawasan perkampungan Melayu di kawasan Parlimennya itu dipercayai berpunca daripada konflik dalaman parti itu.

"Walaupun perlu menerima hakikat bahawa politik bersifat rentas sempadan dan parti politik boleh menubuhkan cawangan di mana-mana, namun UMNO sentiasa berpegang teguh kepada perjuangan membela nasib rakyat di kawasan ini," katanya.