Sempena enam bulan Pakatan Harapan (PH) menerajui Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan parti dalam gabungan itu agar tidak berjuang untuk kepentingan parti masing-masing, sebaliknya berjuang untuk kepentingan rakyat dan berkhidmat untuk negara.

Katanya sejarah telah membuktikan bahawa parti dalam kerajaan terdahulu tewas kerana meletakkan perjuangan parti melebihi kepentingan rakyat, negara dan bangsa.

“Rakyat boleh berfikir, rakyat bukan haiwan, bukan haiwan dicucuk dan ditarik, rakyat adalah manusia berfikiran dan mereka tahu menilai yang baik dan buruk. Pada PRU14 (Pilihan Raya Umum 14) rakyat menolak parti yang lupa sebab dia ditubuh.

“Kini pada hari ini genap enam bulan kerajaan baru tertubuh. Tidak pernah dalam sejarah merdeka tiada parti lain tetapi Pakatan Harapan berjaya menewaskan BN dan mendirikan kerajaan. Tuan dulu parti lawan tidak berjaya menjatuhkan BN. Mereka tidak berjaya kerana tumpu pada parti masing-masing, tidak tumpu perjuangan untuk negara,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Pakatan Harapan Kelantan di sini hari ini.

Tun Mahathir menjelaskan, amalan demokrasi tidak diamalkan sepenuhnya oleh parti dahulu sehingga parti tersebut ditolak oleh rakyat.

Selain itu, katanya sikap mementingkan parti dari kepentingan rakyat menyebabkan penyokong parti tetap menyokong walaupun parti melakukan kesalahan.

Mereka juga merasakan sukar ditewaskan selepas 60 tahun memerintah dengan melaksanakan pelbagai perkara termasuk menyogok rakyat.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Tun Mahathir melahirkan harapan PH dapat mendirikan kerajaan di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) nanti.