Perjuangan tidak perlu berasaskan jawatan, kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir olah Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

"Dalam perjuangan ini, kita tidak perlukan jawatan yang tinggi. Niat itu yang penting," kata Ibrahim yang ditemui dalam sidang media selepas mesyuarat bulanan Perkasa di sini hari ini.

Tambah Ibrahim lagi, beliau pun pernah dipecat daripada parti tersebut.

"Namun, saya tetap teruskan perjuangan saya atas platform yang berbeza," tambah Ibrahim.

Apabila Ibrahim ditanya jika beliau punyai nasihat untuk mereka, ujar Ibrahim beliau tidak layak untuk memberi nasihat kepada Muhyiddin dan Mukhriz.

"Siapalah saya untuk beri nasihat. Namun, ingin saya tekankan, jika perjuangan yang diutamakan, sudah pasti ada cara lain walaupun sudah dipecat dari parti," kata Ibrahim.

Pada Jumaat, MT UMNO membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua pemimpin UMNO itu telah berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti.