Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyelar tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan gambar-gambar bekas pemimpin yang sedang didakwa dan memperlekehkan dengan mengata mereka sedang "berlakon sakit".

Mohamad yang juga menteri pertahanan menegaskan tindakan seperti itu tidak mencerminkan kematangan dalam bepolitik dan tidak selari dengan budaya rakyat Malaysia.

"Kita seharusnya mendoakan sesiapa sahaja yang sakit diberikan kesembuhan dengan segera dan bukannya memperlekehkan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, tular gambar beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah sedang dirawat di hospital.

Terdapat pihak-pihak tertentu yang mendakwa bekas pemimpin BN itu "berlakon sakit" untuk menagih simpati rakyat.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Pakatan Harapan (Harapan) konsisten melawan rasuah dan penyelewengan yang dilakukan BN dan selepas membentu kerajaan pendakwaan demi pendakwaan dilakukan terhadap bekas pemimpin parti itu.

Namun kata ahli parlimen Kota Raja itu, Harapan membiarkan proses undang-undang berjalan dan mahkamah untuk bertindak secara bebas dan adil dalam menghakimi pesalah-pesalah rasuah ini.