Manfaat atau keburukan sekiranya syor persempadanan semula kawasan pengundian bergantung kepada keadaan dan keperluan kawasan yang dipegang, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Mana-mana pihak sama ada parti kerajaan mahupun pembangkang dialu-alukan untuk mengemukakan bantahan sekiranya tidak berpuas hati dengan syor itu, namun perlu mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan.

Begitupun, Noh melihat pelaksanaannya bakal memberi kesan kepada UMNO di beberapa kawasan dengan memberi contoh parlimen Ampang di mana beliau melihat UMNO tidak akan dapat bertanding di ketiga-tiga kerusi termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dan DUN Bukit Antarabangsa.

"Begitu juga di Kelana Jaya, dahulunya ada dua bahagian iaitu satu Kelana Jaya dan satu Petaling Jaya Selatan (PJS).

"Sekarang Kelana Jaya dan PJS sudah jadi satu bahagian, saya pening nanti mana satu ketua bahagian yang saya mahu lantik. Ketua Bahagian Kelana Jaya mahu jadi Ketua Bahagian, KetuBahagian PJS pun mahu jadi Ketua Bahagian," katanya selepas menyempurnakan Seminar Transformasi Industri Pembinaan Malaysia 2016 di sini hari ini.

Bagaimanapun, Noh menegaskan cadangan itu dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas dasar melaksanakan tanggungjawab mereka yang berlandaskan peruntukan Perlembagaan Negara yang perlu dihormati setiap pihak.

Bantahan yang dikemukakan perlu dengan hemah dan tidak menimbulkan kekeliruan serta menjejas ketenteraman awam sehingga mengadakan demonstrasi mahupun rusuhan.

Sebelum ini, Pengarah Kajian Etnik (KITA) Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin memaklumkan pemerhatiannya terhadap parti-parti politik yang hanya menekankan soal kerugian yang mungkin dihadapi sekiranya syor itu terlaksana.

Katanya, walaupun berdepan perubahan yang mungkin akan merugikan, pasti ada aspek yang menjadi manfaat kepada parti mahupun rakyat.

Beliau juga berharap mana-mana parti politik agar melakukan kajian yang terperinci terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak berasas.