Ugutan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk memecat peneraju kakitangan awam yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) adalah manifestasi kebebalan dan kedangkalan politik Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu selama ini.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Kedah kini banyak belajar daripada amalan politik dangkal bekas Menteri Besar negeri itu sendiri.

"Suka diingatkan, bahawa pada suatu ketika di era kepimpinan Mukhriz; jentera kerajaan negeri hampir lumpuh dan tidak berfungsi.

"Mukhriz pada waktu gagal bekerja dan mentadbir dengan baik bersama Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) sehingga beberapa langkah dan pendekatan penting gagal dilaksanakan.

"Sikap keanak-anakan dan ego politik Mukhriz hampir meruntuhkan sama sekali jentera kerajaan negeri. Kami di Kedah banyak menerima akibat buruk dengan sikap seperti ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mukhriz sebelum ini dilaporkan berkata, pakatan pembangkang akan memecat semua pegawai kerajaan yang dipercayai melindungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jika mereka menguasai Putrajaya.

Shaiful menegaskan, sekali lagi, Mukhriz ingin mengambil pendekatan sama iaitu ugutan dan permainan politik dendam.

"Witch-hunting" seperti ini bukti Mukhriz masih belum matang dalam politik. Ugutan dangkal Mukhriz ini wajar menjadi alasan paling kukuh untuk kakitangan awam menolak sebarang sokongan kepada PH.

"Mukhriz sebenarnya sudah menunjukkan betapa PH membawa amalan politik dendam dan tidak demokratik sama sekali.

"Kita mahu tahu apa komen dan pendirian rasmi Presiden parti PPBM dalam hal ini. Buat pendirian tegas. Jika PPBM dan PH sependapat dengan Mukhriz; kita minta mereka masukkan politik ugut dan dendam ini sebagai manifesto rasmi," ujarnya.

Jika tidak tegas Shaiful, PH wajar segera mengambil tindakan disiplin terhadap Mukhriz.

Katanya, sikap dan ego Mukhriz ini tidak ubah seperti kaduk naik junjung.

"Sikap sombong Mukhriz ini terzahir kerana semuanya diperoleh dengan mudah. Tidak ada istilah hormat di dalam kamus ahli politik 'jadi-jadian' sepertinya.

"Hakikatnya Mukhriz harus sedar prinsip asas penjawat awam yang merupakan pelaksana dasar dan jentera utama kerajaan. Mereka sentiasa menyokong kerajaan yang memerintah.

"Seharusnya mereka tidak boleh disalahkan sekiranya mereka patuh kepada prosedur dan polisi tertentu," jelasnya.

Tambahnya, hakikatnya banyak penjawat awam yang tidak menyokong kerajaan, namun ia bersifat peribadi dan Kerajaan tidak pernah memecat atau menyingkirkan mana-mana pejawat awam yang tidak sehaluan dengan UMNO dan BN.

"Kita ingin menasihatkan Mukhriz supaya tidak terlalu 'membodek' rakan mereka iaitu DAP.

"Semua tahu bahawa DAP memang anti penjawat awam sehingga pada satu ketika dahulu mereka pernah berikrar untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sekiranya mereka menawan Putrajaya.

"Kita lihat tindakan Mukhriz ini seolah-olah ingin menari dan menyanyi muzik serta lirik yang sama dengan parti dominan Pakatan Harapan iaitu DAP," katanya.