Tutup

[PERSPEKTIF] PRK Rantau jalan pintas Anwar jadi Perdana Menteri?

[PERSPEKTIF] PRK Rantau jalan pintas Anwar jadi Perdana Menteri?
PH yang menghadapi kekalahan 3,238 undi di Cameron Highlands dan 1,914 undi di Semenyih kepada BN pasti tidak mahu badi itu berterusan di Rantau. - Gambar fail
PERJANJIAN menyerahkan kuasa menjadi Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi isu yang perlu dipertikai.

Walaupun sebelum ini Anwar menjangkakan mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri dalam tempoh kurang dua tahun, waktu sebenarnya masih lagi menjadi tanda tanya.
Tiada apa yang perlu digusarkan. Keyakinan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh itu dan selain kurang lima tahun juga sudah diluahkannya dalam satu temu ramah bersama Bloomberg Television, baru-baru ini.

"Ada perjanjian antara kepemimpinan parti dan bukan antara saya dan Dr. Mahathir sahaja.
"Dalam perbincangan dengan Dr. Mahathir, saya mahu beliau mentadbir kerajaan secara efektif dan amat
penting untuk memberi beliau masa.

"Sudah tentu bukan dalam tempoh lima tahun kerana beliau (Dr. Mahathir) telah menyatakan dengan jelas yang ia (tempoh peralihan jawatan) tidak akan melebihi dua tahun," katanya semasa temu bual itu.

Tambahan, Dr Mahathir sendiri sudah memberi jaminan tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri melebihi dua tahun walaupun mengakui rakyat memintanya berbuat demikian.

Kata Dr Mahathir lagi, beliau sudah tua selain perlu mempertimbangkan faktor kesihatannya.

Rantau

Pengumuman Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S. Streram sebagai calon mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau 13 April ini sebenarnya membuka jalan pintas untuk Anwar lebih pantas menjadi Perdana Menteri.

Bagaimana tidak, impak selepas keputusan Rantau diumumkan akan menjadi indikator kepada prestasi
Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan.

Ia sekali gus menjadi rumusan kepada kekuatan PH selepas berdepan dua kekalahan berturut-turut di PRK
Cameron Highlands dan Semenyih.

PH yang menghadapi kekalahan 3,238 undi di Cameron Highlands dan 1,914 undi di Semenyih kepada Barisan Nasional pasti tidak mahu 'badi' itu berterusan di Rantau.

Keputusan PRK Rantau pasti akan memberi bayangan kepada masa depan PH dan Anwar sendiri selain menimbulkan persepsi rakyat menjelang satu tahun pemerintahan kerajaan baharu.

Kalah atau menang, ia permulaan kepada cabaran PH mengurus perjalanan politiknya sendiri.


Anwar menegaskan PKR tidak berganjak dengan pendirian untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti yang dipersetujui secara bersama sebelum ini.

Kalau menang?

Tahniah.

Kemenangan Dr S Streram akan membuka jalan untuk Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar 'membuktikan' kekuatan PKR sendiri berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP dalam PRK.

PKR sebenarnya menjadi penyelamat PH dari terus menerima tamparan kekalahan PRK untuk kali ketiga berturut-turut.

Ini landasan untuk Anwar 'mempercepatkan' masa selain menjadi faktor memendekkan tempoh menunggunya untuk menjadi Perdana Menteri.

Tidak kira apa sahaja majoriti yang akan diperoleh, ia kejayaan besar PH menghalang Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan hatrik dalam PRK.

Pastinya langkah Anwar akan menjadi lebih yakin untuk 'melobi' masa mencipta sejarah negara menyandang jawatan Perdana Menteri kelapan menjadi kenyataan.

Kalau kalah?

Kekalahan PKR di Rantau harus dilihat dalam skop yang lebih besar. Ia bermaksud PH semakin tewas di hati rakyat yang semakin lantang menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pemerintahan kerajaan.

Penolakan rakyat kepada PH seperti tidak boleh dihalang lagi. Selepas Cameron Highlands (DAP), Semenyih (Bersatu) dan Rantau (PKR), ia seperti melengkapkan kekalahan parti yang bernaung di bawah PH secara keseluruhan.

Langkah yang perlu diambil mungkin menukar 'jeneral' nombor satu yang kini memimpin Putrajaya.

Ini masa paling sesuai untuk Anwar duduk di jawatan yang dinantinya sejak lebih 20 tahun lalu.

Ia mungkin akan mengubah pola pemerintahan dan menarik kembali kepercayaan rakyat kepada PH.

Cara Anwar mengemudi negara kelak dengan sentuhannya tersendiri tentu menjadi ramuan rahsia yang dapat mengembalikan pengaruh rakyat kepada PH sama seperti yang dirasai mereka dalam tempoh 100 hari selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.


Anwar perlu mendapatkan undi majoriti mudah iaitu sokongan daripada 112 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat sebelum menjadi Perdana Menteri.

Menang atau kalah

PRK Rantau adalah jalan pintas untuk Anwar menjadi Perdana Menteri.

Tidak kira kalah atau menang, ia seharusnya digunakan Presiden PKR itu untuk membuktikan kekuatan parti dan diri sebelum memegang jawatan nombor satu di Putrajaya.

Ia bukan lagi masalah apabila empat proses sebelum menjadi Perdana Menteri seperti diperkatakan pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz boleh dilalui Anwar dengan lancar.

Kata Dr Shamrahayu, yang pertama adalah mesti ada kekosongan rasmi bagi jawatan Perdana Menteri sama ada melalui proses peletakan jawatan sekalipun.

Kedua, calon yang mahu diangkat menduduki jawatan itu adalah dalam kalangan Ahli Parlimen.

Ketiga, calon Perdana Menteri itu perlu mendapatkan undi majoriti mudah iaitu sokongan daripada 112 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Keempat dan yang paling penting adalah Yang di-Pertuan Agong memutuskan perkara itu berdasarkan penghakimannya bahawa calon Perdana Menteri mempunyai sokongan dan kepercayaan majoriti undi daripada Ahli Parlimen.

Pastinya ada sambungan cerita menarik tentang masa depan Anwar dan PKR selepas PRK Rantau nanti.



* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.