Perjalanan dari Sungai Koyan ke Pos Sinderut melalui jalan kecil, berlubang, berlumpur, licin dan dikelilingi cerun-cerun bukit mengambil masa hampir tiga jam.

Apa yang dapat disimpulkan adalah, perjalanan ke Pos Sinderut amat berbahaya dan inilah laluan harian komuniti Orang Asli yang tinggal jauh dari ketamadunan serta pemodenan.

Tanggal 17 Januari 2019, buat kali pertama penduduk Pos Sinderut melihat kelibat menteri serta ahli-ahli politik ternama negara.

"Sebelum ini tak pernah ada menteri atau pemerintah datang menjenguk kami di sini walaupun sejak pemerintahan dulu (kerajaan Barisan Nasional)," kata seorang penduduk Pos Sinderut, Norman, pada Khamis.

Kehadiran Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi harapan kepada penduduk di sini.

Rata-rata, keinginan mereka adalah untuk mendapatkan kemudahan asas serta sebuah sekolah menengah agar anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

"Isu tanah adat juga penting kerana itu nyawa kami sebenarnya," kata Norman.

Pengundi Cameron Highlands akan memilih Ahli Parlimen baharu mereka pada 26 Januari ini manakala hari pengundian awal pada 23 Januari.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon Pakatan Harapan M. Manogaran, calon BN Ramli Md Nor serta dua calon Bebas iaitu Wong Seng Yee dan Sallehudin Talib.