Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini bakal menyasikan pertandingan empat penjuru.

Pegawai Pengurus PRK Semenyih, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, semua borang pencalonan oleh keempat-empat calon diterima dan tiada borang pencalonan yang ditolak.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima empat kertas penamaan calon bagi kerusi N24 Semenyih, Selangor.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan calon dan selepas selesai disemak, saya berpuas hati dan tiada calon-calon yang ditolak kertas penamaannya,” kata Sayuthi semasa mengumumkan nama-nama calon PRK Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang di sini pada Sabtu.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Proses penamaan calon PRK Semenyih


Pakatan Harapan (PH) memperkenalkan calon baharu, Muhammad Aiman Zainali yang juga merupakan menantu kepada bekas ADUN Semenyih Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Calon Barisan Nasional (BN) pula adalah anak tempatan iaitu Zakaria Hanafi yang merupakan bekas Penolong Pegawai Tadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dua lagi calon adalah dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) iaitu Nik Aziz Afiq Abdul dan aktivis sosial Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai “Uncle Kentang” bertanding atas tiket BEBAS.


PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan hari ini (Sabtu) 16 Feb, manakala hari pengundian awal ialah 26 Feb dan hari pengundian pada 2 Mac.