Pertembungan politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di negeri Perak bermula hari ini apabila kesemua parti telah mengumumkan calon masing-masing.

Daripada 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, persaingan sengit dilihat bakal berlaku di enam Parlimen dan hampir separuh kerusi DUN.

Mempertaruh karier politik dilihat pengorbanan terbesar yang dibuat Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming apabila beliau bakal mencabar Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong di Teluk Intan.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Taiping, bakal berdepan cabaran besar untuk merampas kembali kerusi yang tewas di tangan Siew Keong - anak jati Teluk Intan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014.

Pertembungan anak tempatan

Bercakap soal anak tempatan, persaingan sengit bakal berlaku di Parit Buntar apabila Barisan Nasional (BN), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pas, masing-masing meletakkan anak tempatan.

BN menampilkan muka baru dalam era politik Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan - individu yang tekad melepaskan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak untuk pergi lembah politik.

Datuk Dr. Mujahid Yuusof Rawa (Amanah) bakal mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak dua penggal lalu ketika bertanding di bawah tiket Pas.

Malah, PAS yang hilang kerusi itu dek kerana tindakan Mujahid, memilih meletakkan Ahmad Azhar Sharin, anak tempatan yang merupakan seorang peguam.

Kembali ke persada

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, nama yang tidak asing bagi penduduk di Perak terutama di kawasan yang diterajui beliau sejak tahun 1995, Tambun.

Beliau yang melepaskan semua jawatan dalam kabinet dan parti pada 2016 terus diberi kepercayaan sekali lagi oleh pucuk pimpinan BN untuk mempertahankan kerusi itu pada PRU14.

Namun, kerusi ini bakal menjadi fokus tumpuan lantaran ada kepimpinan BN di peringkat bahagian yang dikatakan menolak Husni yang membuat keputusan melepaskan jawatan tanpa memaklumkan kepada akar umbi.

Sejumlah 107,763 pemilih berdaftar di Tambun akan menentukan nasib Husni yang bakal ditentang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Ahmad Faizal Azumu - antara nama yang dikatakan akan menjadi Menteri Besar Perak sekiranya PH berjaya menawan negeri itu.

MB baru atau lama?

Ini apabila Ahmad Faizal juga akan bertanding di DUN Chenderiang yang bakal ditandingi Chong Shin Heng (BN) dan Nordin Hassan (Pas).

Bukan sahaja Ahmad Faizal yang bertanding di dua kerusi Parlimen dan DUN, langkah sama turut diambil pucuk pimpinan BN dengan meletakkan penyandang kerusi Pangkor yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk bertanding di Parlimen Lumut selain mengekalkan kerusi DUN itu.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga dijangka menjawat semula jawatan itu pada 2008 sekiranya PH berjaya menawan Perak.

Beliau memilih meninggalkan kerusi luar bandar yang disandangnya, Changkat Jering ke kerusi, Sungai Rapat, sebuah kawasan DUN di bawah Parlimen Gopeng yang dilihat lebih sebagai kerusi bandar.

Dua lagi kerusi DUN di Parlimen Gopeng yang disandang Dr Lee Boon Chye (PKR) iaitu Simpang Pulai dan Teja merupakan kubu kuat PKR yang dijangka bakal memberi bantuan sumber ke Sungai Rapat.

Antara kerusi tumpuan lain termasuklah DUN Lubok Merbau yang sebelum ini disandang BN dengan hanya 53 undi majoriti.