KUALA LUMPUR :Pertembungan tiga penjuru antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Justeru, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program bersama akan diatur di peringkat pusat, negeri dan akar umbi bagi mewujudkan hubungan yang lebih erat antara parti dalam gabungan itu.

“Saya juga ingin mencadangkan supaya pertemuan antara ketua-ketua parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional diadakan secara lebih kerap.

“Mungkin sudah sampai masanya sebuah Majlis Presiden yang dianggotai oleh ketua-ketua parti dalam Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah diwujudkan.

“Mesyuarat secara berkala boleh diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar-dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden secara maya dalam persidangan itu.

Menurutnya, penubuhan Majlis Presiden adalah penting kerana tidak semua Ketua Parti berada dalam Kabinet dan menerusi majlis tu, setiap Ketua Parti boleh menyampaikan pandangan parti masing-masing untuk diambil perhatian.

“Jadi, saya hendak beritahu saudara dan saudari para perwakilan sekalian, hala tuju parti kita pada masa hadapan ialah untuk memperkukuhkan hubungan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.

“Inilah masa depan kita. Inilah jalan yang kita pilih. Jalan ini mungkin berliku. Ada onak dan duri di sana sini. Ia mungkin sukar dan mencabar kesabaran kita,” ujarnya.