Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat perkara yang perlu dipertimbangkan oleh setiap rakyat sebelum menunaikan tanggungjawab mereka memilih kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, perkara pertama ialah rakyat perlu menilai siapakah yang selama ini telah terbukti mampu menjaga keharmonian negara sejak merdeka meskipun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.

Jelasnya, hubungan serasi antara setiap kaum di negara ini tercapai kerana kerja keras kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui dasar yang berkesan sehingga mewujudkan satu ikatan toleransi antara rakyat yang mempunyai budaya berbeza.

"Kita juga ingin mengukur siapa juga yang mampu menentukan kestabilan negara kerana kestabilan ini adalah punca kita boleh buat apa saja untuk rakyat, tanpa kestabilan politik tak mungkin kita boleh membawa pembangunan tanpa kestabilan politik dan hubungan yang baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri tak mungkin kita boleh bawa kemajuan kepada negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau kali ke-7 di dataran bangunan Majlis Perbandaran Tawau, hari ini.

Festival berkenaan yang merupakan cetusan idea mantan Menteri Belia dan Sukan Sabah Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan merupakan platform mengetengahkan keunikan dan kekayaan kebudayaan masyarakat majmuk di Sabah.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan isteri, Puan Sri Faridah Tussin; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Mary Yap Kain Ching; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Syed Abas Syed Ali dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Najib dalam pada itu menyatakan, perkara ketiga ialah rakyat mesti menilai siapa yang mampu menjaga keamanan negara terutama di pantai timur Sabah daripada ancaman asing dan jenayah rentas sempadan dan perkara keempat adalah berkongsi kekayaan kepada rakyat.

Jelas beliau, bagi mencapai perkara itu, kerajaan BN pimpinannya telah membuat dasar bahawa setiap hasil negara tidak perlu disimpan sebaliknya diagihkan kepada rakyat yang memerlukan iaitu melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Falsafah yang saya pegang sebagai ketua kerajaan bahawa kalau hasil negara bertambah kita mesti agihkan kekayaan itu kepada rakyat, kita mesti bantu rakyat yang memerlukan.

"Sebab itu bila saya lihat punca pendapatan kerajaan bertambah dengan pengurusan kewangan kita yang cekap dan berhemah dengan pertambahan kutipan GST, cukai individu, cukai daripada syarikat-syarikat dan juga hasil-hasil yang lain, saya kata sebagai sebuah kerajaan kita jangan simpan duit itu, kita berikan bantuan kepada rakyat," katanya.