Pertimbang syor lantik KM Sabah dan Sarawak sebagai TPM Kedua - Darell

Pertimbang syor lantik KM Sabah dan Sarawak sebagai TPM Kedua - Darell
Darell berkata langkah itu bagi mengurangkan jurang antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Warisan Sabah (Warisan) Darell Leiking mencadangkan agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua yang diwakili oleh Ketua Menteri Sabah dan Sarawak dalam barisan Kabinet di peringkat persekutuan.

Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang dalam program temu bual 100 Hari Malaysia Baharu di Astro AWANI berkata langkah itu bagi mengurangkan jurang antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Cadangan itu juga dibuat atas semangat penubuhan Malaysia yang melibatkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf.

"Sabah ini bukan negeri biasa, kita adalah rakan kongsi penubuhan Malaysia: Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Jadi kalau kita rakan sesama, kita juga mewakili Kerajaan Persekutuan sebagai rakan kongsi dalam persekutuan Malaysia."
"Tujuan kita adalah untuk mentadbir bersama. Saya fikir kalau jawatan Timbalan Perdana Menteri itu, jika dijawat oleh Ketua Menteri Sabah dan Sarawak tidak perlu diberi elaun, boleh jimat duit. Mereka hanya perlu diwakili dalam jemaah menteri," katanya.


Mengulas lanjut, Darell berkata kedua-dua Ketua Menteri Sabah dan Sarawak juga akan turut terlibat dalam mesyuarat Kabinet.

"Mereka boleh melaporkan keadaan Sabah dan Sarawak ketika mesyuarat pada setiap Rabu dan sebarang keputusan di jemaah menteri di Persekutuan, mereka akan laporkan balik pada mesyuarat Kabinet di negeri setiap Jumaat."

Biarpun sedar hasrat Dr Mahathir menubuhkan saiz barisan kabinet lebih kecil, Darell tetap berharap lebih ramai perwakilan dari Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan.

"Jika sebelum ini ada enam (menteri dan timbalan menteri) dari Sabah dan Sarawak, saya rasa kalau ada tujuh lebih bagus.

"Contohnya, kalau dahulu kita ada jawatan Menteri Kewangan II, kenapa tidak beri jawatan itu kepada wakil dari Borneo, kerana kita juga perlu menguruskan aset dan kewangan di Borneo," katanya lagi.

Ditanya sama ada beliau akan menjawat sebarang jawatan di peringkat Kabinet, beliau berkata ia terpulang kepada Dr Mahathir.

"Saya tidak tahu. Itu terpulang kepada Dr Mahathir. Saya faham kita (Warisan) bukan dalam gabungan Pakatan Harapan. Pada masa sama, saya tahu beliau faham tentang situasi di Sabah dan akan menghormati kehendak orang Sabah," katanya.