Tutup

PH tak mampu beri duit percuma disebabkan beban hutang - Tun M

PH tak mampu beri duit percuma disebabkan beban hutang - Tun M
DR MAHATHIR: Kerajaan dahulu pernah memberi duit percuma kepada rakyat secara rambang. Kita Pakatan Harapan (PH) tidak mampu. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Ketiadaan wang untuk membantu rakyat adalah malapetaka yang dibawa oleh kerajaan dahulu, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Disebabkan beban hutang hasil tinggalan kerajaan dahulu, kerajaan Pakatan Harapan kini tidak mampu memberi wang percuma kepada rakyat seperti yang dipraktikkan Barisan Nasional, kata Dr Mahathir yang juga perdana menteri.
Hasilnya, kini rakyat, terutama golongan miskin merasai tekanan kos sara hidup yang tinggi walaupun hutang negara sedang ditangani dengan baik dan jentera pentadbiran dipulihkan semula.

"Kerajaan dahulu pernah memberi duit percuma kepada rakyat secara rambang. Kita Pakatan Harapan (PH) tidak mampu. 
"Sebabnya kita tidak mampu ialah kerana kita tidak selewengkan wang Kerajaan. Lagipun sebahagian yang tidak kecil dari pendapatan Kerajaan terpaksa diguna untuk bayar hutang dan faedah yang amat tinggi.

"Jika hutang tidak dibayar maka kita boleh menjadi muflis – bankrap. Kalau jadi muflis, semua pendapatan kita akan diguna untuk bayar hutang. Tidak akan  ada wang sedikit pun untuk bantu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Pengerusi Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.

Tambah Dr Mahathir, kerajaan kini sedang berusaha menurunkan harga barang dan berjanji kos sara hidup akan menurun.

Namun katanya, ini akan mengambil masa.