Pakatan Harapan (PH) tidak pernah memaksa Orang Asli untuk menyokong parti gabungan kerajaan itu, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan Tok Batin (Ketua Kampung Orang Asli) di Kampung Sungai Lalang Baru di sini, Aleh Abdullah, 53, bahawa teks ucapan yang dibacanya sewaktu program berkempen PH pada Ahad bukan tulisannya sendiri.

Menurut Aleh, sekurang-kurangnya separuh daripada teks itu ditulis oleh seorang bekas pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan meminta beliau membacakan ucapan itu.

Muhyiddin bagaimanapun menepis dakwaan ini dan mengatakan Aleh mempunyai hak untuk memberi ucapan sendiri.

“Tiada paksaan. Terserah kepada beliau hendak baca teks atau tidak kerana itu hak beliau,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Dakwaan Aleh itu turut ditepis oleh Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Ajis Sitin yang berkata pihaknya langsung tidak terlibat dalam program berkempen PH, malah tidak dimaklumkan mengenai gerak kerja kempen itu.

Dalam ucapannya, Aleh dilihat tergagap ketika menyatakan sokongan terhadap kerajaan PH serta calonnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.

“Kami sokong calon PH dan kerajaan. Tepuklah tangan. Kalau tak sokong nanti susah kami semua.

“PRK Semenyih kami sokong dan undi PH. Bila memang nanti kami minta PH bantu kami,” katanya pada petang Ahad dihadapan kira-kira 50 masyarakat Orang Asli.

Mengulas mengenai satu lagi dakwaan oleh Aleh bahawa PH bercadang mengadakan jamuan makan malam selain memberi hamper kepada penduduk Orang Asli pada 26 Feb ini, Muhyiddin menyifatkan ia hanya sebagai satu andaian.

“Belum berlaku lagi. Itu andaian. Saya tak tahu,” kata Menteri Dalam Negeri itu.