Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiada rancangan mengadakan pilihan raya kecil bagi memberi laluan kepada Ketua Umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai kerajaan.

"Bukan itu perancangan kami," jawabnya ringkas ketika ditanya pemberita adakah PH berhasrat memberi laluan kepada suaminya untuk menyertai pimpinan kerajaan setelah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Dr Wan Azizah, yang telah dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, berkata Anwar sebaliknya akan bersama menyumbang peranan dalam pembentukan kerajaan mengambil kira pengalamannya dalam pimpinan kerajaan sebelum ini.

"Seperti yang telah saya katakan, kita perlu memberi peluang kepada PM dan pembentukan kabinet supaya pentadbiran kerajaan berjalan lancar. Anwar menyumbang sebahagian daripadanya tetapi bukan seluruhnya sebagai kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri anjuran PKR Parlimen Pandan di sini malam tadi.

Kira-kira 1,000 masyarakat tempatan hadir ke majlis tersebut yang turut dihadiri Naib Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar, anggota Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Abdullah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Izham Hashim.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata Anwar dijangka dibebaskan 5 petang ini dan membuat kemunculan pada Perhimpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada malamnya.

Lembaga Pengampunan Diraja akan bermesyuarat esok bagi mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berhubung pengampunan dan pembebasan Anwar.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun ini.

Sementara itu, dalam ucapannya Dr Wan Azizah mengulangi komitmen PH untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menstabilkan harga minyak yang dijanjikan dalam 100 hari pentadbiran.

Selain itu, katanya PH juga akan melaksanakan manifesto caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk golongan muda yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

"Untuk yang lain-lain (manifesto) berilah kami ruang dan masa untuk melaksananya," katanya.

-- BERNAMA