PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menunjukkan belang beliau dengan menyebarkan berita palsu dan ucapan kebencian berkenaan DAP dan politik di Sarawak, memberikan kita semua bukti kedua bahawa Piagam yang ditandatangani Sabtu lepas hanyalah satu Piagam Berita Palsu dan Ucapan Kebencian.

Sebelum ini saya fikirkan kejadian Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyebarkan berita palsu dan ucapan kebencian apabila beliau menyatakan yang proses persijilan halal telah dipindahkan daripada Jakim kepada Kementerian Kewangan dalam acara Himpunan Perpaduan Ummah (HPU) PAS-UMNO adalah satu kesilapan yang besar yang terpencil.

Jakim telah menafikan tuduhan Ismail Sabri dalam satu kenyataan daripada Unit Komunikasi Korporatnya yang berbunyi: "Jakim menafikan kenyataan ini dan mengesahkan sehingga hari ini, Jakim dan jabatan agama Islam negeri masih bertanggungjawab dalam proses persijilan halal."

Akhbar The Star telah memetik ucapan Ismail Sabri di HPU yang mengatakan "Walaupun kerajaan baru ini kelihatan seperti dipimpin oleh orang Melayu, ia dipimpin secara tidak langsung oleh DAP", seterusnya mendakwa proses persijilan halal yang dikelola oleh Jakim kini terletak di bawah Kementerian Kewangan.

"Dan kita semua tahu siapa yang pegang Kementerian Kewangan," tambah beliau lagi di perhimpunan tersebut.

Seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen DAP Kepong Lim Lip Eng pada Ahad, sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dan bekas menteri kabinet, Ismail Sabri mestilah dipertanggungjawabkan dan Lip Eng telah memberikan beliau 24 jam untuk memohon maaf di atas penyebaran berita palsu tersebut sebelum beliau membuat laporan kepada pihak Polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, dan Jabatan Agama Islam mengenai perkara itu.

Awal 16 September, di program Muafakat Rakyat di Kampung Melayu Baru di Gelang Patah, saya telah menggesa supaya penyokong Himpunan Perpaduan Ummah menuntut permohonan maaf daripada Ismail Sabri kerana tindakan beliau yang mencemarkan Piagam Muafakat Nasional menjadi Piagam Berita Palsu dan Ucapan Kebencian.

Ternyatalah saya tersilap, rupanya Ismail Sabri bukanlah tersilap dalam melakukan tindakannya itu, rupa-rupanya Piagam yang ditandatangan itu memang pun Piagam Berita Palsu dan Ucapan Kebencian.

Tidak sampai 48 jam selepas pengumuman piagam, Hadi sendiri telah memberikan bukti kedua tujuan sebenar Piagam ini iaitu untuk menyebarkan berita palsu dan ucapan kebencian.

Semasa memberikan ucapan beliau pada satu Majlis Sambutan Hari Malaysia di Bintulu pada 16 September, Hadi telah mendakwa yang DAP ingin memberikan kawalan dan kekayaan negara ini kepada orang Cina.

Beliau berkata: "Pada pilihanraya ke-14, BN telah ditewaskan dan Pakatan Harapan, di mana DAP merupakan pemimpin terbesarnya telah merampas tampuk pemerintahan."

"Malangnya, DAP hanya mahu berikan kekayaan ini kepada orang Cina sahaja, bukan untuk semua, orang lain hanya akan ditinggalkan."

Beliau mengatakan orang Melayu dan Orang Asal telah dipinggirkan dan situasi ini sama seperti di Semenanjung Malaysia.

Ini semua merupakan satu berita palsu dan ucapan kebencian, tanpa secebis kebenaran atau asas langsung.

Saya cabar Hadi untuk mengemukakan bukti bagi tuduhan tidak masuk akal ini.

Amatlah mengejutkan untuk melihat Hadi menyebarkan berita palsu ini di Sarawak, sedangkan apabila PAS meletakkan 11 calon di Sarawak semasa Pilihanraya Negeri Sarawak 2016, kesemua 11 calon PAS telah kalah teruk. Bolehkah Hadi beritahu kita semua, berapa ramai daripada 11 calon PAS ini telah kehilangan deposit mereka?

Hadi pernah dahulu mengakui di khalayak awam, hanya DAP yang mempertahankan PAS apabila kerajaan negeri Kelantan jatuh ke tangan Barisan Nasional pada tahun 1977, menyebabkan keadaan huru-hara di negeri itu. Adakah beliau menipu?

Saya ucapkan tahniah kepada Hadi kerana menjadi pemimpin Islamis pertama di dunia yang membentuk satu pakatan klepto-teokrasi, yang mahu membangunkan zaman kegemilangan Islam melalui Piagam Permuafakatan Nasional Himpunan Perpaduan Ummah.

Sejarah telah menyaksikan zaman kegemilangan Islam, satu zaman di mana budaya, ekonomi, dan sains berkembang, tetapi bolehkah beliau memberikan contoh zaman kegemilangan Islam yang berteraskan kleptokrasi, berita palsu, dan ucapan kebencian?



Lim Kit Siang
Ahli Parlimen Iskandar Puteri