PIAGAM UMNO-Pas yang termeterai pada 14 September 2019 menarik perhatian rakyat beragama Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Piagam tersebut yang diumumkan bermatlamat menyatupadukan dua parti terbesar mewakili orang Melayu Islam di Malaysia.

Piagam tersebut dilaporkan bukan merupakan satu kemuafakatan politik semata-mata untuk memenangi pilihanraya seperti didakwa setengah pihak tetapi lebih daripada itu.

Ia bertujuan untuk melestarikan ukhuwah di kalangan umat Islam dan meningkatkan perpaduan nasional.

Persoalannya, apakah impak termeterai Piagam UMNO-Pas kepada politik nasional secara amnya dan MIC, selaku rakan setia BN khususnya?

Sekiranya kita meneliti prestasi Pas dalam medan politik, kita akan memahami bahawa perjalanan politik Pas yang penuh dengan onak berduri.

Pas yang menang satu kerusi Parlimen semasa Pilihan Raya Umum (PRU) yang pertama pada tahun 1955 sebelum merdeka.

Pas kemudian menyertai semua PRU yang seterusnya dan menang 13 kerusi Parlimen malah memenangi majoriti kerusi DUN dan membentuk kerajaan Kelantan serta Terengganu pada tahun 1959.

Prestasi Pas turun naik selepas itu. Selepas rusuhan kaum pada 1969, Pas menyertai Barisan Nasional (BN) yang bertunjangkan UMNO dan memenangi 14 kerusi Parlimen.

Namun, Pas keluar daripada BN pada tahun 1978 apabila tercetusnya krisis dalaman antara BN-Pas.

Prestasi Pas dalam PRU merosot sejak Pas keluar dari BN. Pas bertanding pada PRU tahun 1990 bersama parti Melayu, Semangat 46 yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan memenangi tujuh kerusi Parlimen pada tahun 1990 dan 1995.

Seterusnya Pas bersama PKR di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Gagasan Barisan Alternatif pada tahun 1999 dan memenangi 27 kerusi Parlimen.

Pas kemudian membuktikan kehandalannya memenangi 18 kerusi Parlimen secara bersendirian pada 2018 malah berjaya menawan Kerajaan Terengganu dan mempertahankan kerajaan Kelantan ketika prestasi BN menjunam dan hilang kerajaan pusat yang dikuasai sejak merdeka.

Persoalannya, apakah impak termeterinya piagam tersebut kepada landskap politik warga Islam dan bukan Islam secara amnya dan MIC, selaku rakan setia BN secara khususnya?


Analisa kaum

Analisa terhadap peratusan pengundi mengikut kaum di seluruh kawasan Parlimen di Semenanjung menunjukkan bahawa sejumlah 109 kawasan Parlimen mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Manakala, 51 kawasan mempunyai majoriti pengundi Cina, 28 kawasan pula diwakili pengundi campuran dan 51 kawasan pengundi India antara lima sehingga 25 peratus.

Analisa keputusan PRU14 menunjukkan Pakatan Harapan (PH) menang hampir di semua kawasan majoriti Cina dan campuran.

Manakala, UMNO pula memenangi sebanyak 55 kawasan Parlimen atau hampir 75 peratus kawasan majoriti Melayu.

Peralihan sokongan pengundi Melayu sebanyak 10 sehingga 25 peratus dan 80 peratus pengundi India kepada PH dikatakan menyebabkan PH menang sebahagian besar kawasan campuran.



DAP menang 42 kawasan yang mempunyai majoriti Cina, PKR menang di 49 kawasan campuran dan Bersatu menang di 13 kawasan majoriti Melayu.

Keputusan PRU14 jelas menunjukkan kemenangan dan kekuatan PH terletak pada sokongan hebat pengundi Cina (DAP) dan India serta sebahagian kecil pengundi Melayu yang tidak terikat kepada mana-mana parti politik (atas pagar).


Cetus gelombang

Piagam UMNO-Pas dijangka mengubah infrapolitik negara pada masa akan datang. Ia juga akan mencetus gelombang dan sentimen perpaduan serta penyatuan orang Melayu supaya mereka bersatu dan bersama menghadapi cabaran politik nasional.

Malah, kemuafakatan politik UMNO-Pas yang turut disokong MIC juga dijangka mencetuskan perubahan dalam pemikiran warga bukan Islam terhadap parti Pas yang bertunjangkan kepada ideologi Islam.

MIC yang bertanding sembilan daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh Malaysia menerima kekalahan paling teruk sejak PRU12.

Malah, Presiden MIC pada waktu itu turut menerima kesan kekalahan dalam PRU12 dan PRU14.

Hampir 80 peratus calon MIC yang bertanding pada PRU14 menerima keputusan yang menyedihkan. Antara faktor utama yang menyebabkan kekalahan sebahagian besar calon MIC adalah faktor calon yang ditentang hebat Pas.

Pertembungan antara calon MIC dan Pas menyebabkan sokongan daripada orang Melayu kepada calon MIC merosot sekali gus memberi kemenangan kepada calon PH.

Namun begitu, Piagam UMNO-Pas serta kerjasama politik antara UMNO, Pas dan MIC akan memberi kelebihan kepada calon MIC untuk mencapai kemenangan kerana ketiadaan pertembungan antara calon MIC dan Pas.

Kemuafakatan UMNO-Pas-MIC juga diharapkan mendorong ahli dan penyokong MIC di seluruh negara untuk menyokong dan mengundi calon Pas dalam memastikan kemenangan Pas. Sebaliknya, sebahagian besar penyokong Pas pula dijangka menyokong calon UMNO dan MIC.

Dengan perubahan paradigma ini, peluang UMNO memenangi hampir semua kawasan majoriti Melayu yang bertanding adalah lebih cerah manakala peluang bagi calon MIC memenangi kawasan-kawasan tradisi mereka yang terletak di kawasan majoriti Melayu dan India adalah lebih cerah pada PRU15.

Apapun, Piagam UMNO-Pas diharap memulihkan kekuatan politik Melayu, memartabatkan kuasa politik Melayu malah memperkasa dan melestarikan agenda perpaduan nasional.

Perjanjian Piagam tersebut juga dijangka menyuntik semangat baru kepada MIC untuk mengulangi prestasi yang lebih baik atau mengulangi kecemerlanganya pada PRU yang akan datang.

Prestasi yang cemerlang kali ini akan membantu MIC terus kekal relevan dalam politik Malaysia untuk memastikan hak-hak legitimasi dan kebajikan kaum India terus dipelihara dan terbela.

Sebahagian besar orang Melayu yakin perpaduan ummah yang bakal dilahirkan dari Piagam UMNO-Pas bukan sahaja mampu mengkukuh dan melestarikan silaturrahim sesama Melayu dan Islam malah akan menjamin keadilan kepada semua kaum.

Sehubungan itu, warga bukan Islam terutamanya masyarakat India perlu mengambil kira perubahan geopolitik dan aspirasi semasa kaum Melayu selaku kaum majoriti di Malaysia dalam memperhitungkan Piagam UMNO-Pas.

Masyarakat India hari ini juga perlu yakin dan menyokong langkah kepimpinan MIC yang terus bersama BN dan sedia berkerjasama dengan Pas dengan harapan Piagam UMNO-Pas yang bertunjangkan Islam akan memastikan hak legitimasi kaum bukan Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia terjamin malah terpelihara.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI