“Mereka (UMNO) yang tahu dulu, mereka la agaknya kaki gelek,” itu kata-kata sinis yang diungkapkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas mengenai penularan sebuah video yang menunjukkan terdapatnya ‘tarian ‘gelek’ yang disifatkan sesetengah pihak agak mengghairahkan sewaktu majlis kutipan untuk Tabung Pakatan Harapan, di Lembah Klang baru-baru ini.

Mohd Zawawi berkata, beliau hanya menyedari kewujudan video berdurasi 15 saat itu selepas timbulnya dakwaan Pakatan Harapan menyokong aktiviti sebegitu walaupun ia dilihat agak bertentangan dengan nilai-nilai masyarakat di negara ini.

“Kami pun tak tahu tiba-tiba video tu keluar, maknanya pihak seberang sana memang menonton daripada mula hingga akhir, memang dia kaki geleklah, kami tak pernah pergi ke tempat tempat macam tu.

"Jadi bila dia dapat video macam tu, maknanya kawan-kawan dia yang sewaktu dengannya memang kaki geleklah,” katanya pada sidang akhbar harian PKR bagi PRK DUN Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, pihaknya mendapati terdapat cubaan segelintir pihak untuk memainkan isu agama dalam usaha meraih undi masyarakat setempat, terutamanya pengundi berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Saya percaya isu ini sengaja dipolemikkan semata-mata untuk meraih keuntungan politik pihak tertentu, tanpa menyedari bahawa ia boleh mencetuskan keresahan dan kekeliruan terutama di kalangan masyarakat Islam.

“Ingin saya tegaskan di sini, isu agama terutama mengenai Islam adalah tanggungjawab pihak yang berautoriti dan tidak ada mana-mana pihak berhak mendakwa ia adalah hak mutlak untuk mereka sahaja yang boleh bercakap mengenainya,” tegasnya lagi.

Mohd Zawawi berkata, Kerajaan Pakatan Harapan di Selangor tidak pernah sama sekali mengabaikan kepentingan Islam di negeri ini sejak diberi mandat pada 2008.

“Untuk pengetahuan semua, mulai tahun 2015 hingga 2018, sebanyak 25 masjid baharu telah dibina di seluruh Selangor. Pada tahun yang sama peruntukan bagi pembinaan dan penyelenggaraan yang diterima Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) adalah sebanyak RM208.82 juta,” katanya lagi.