Bakal calon Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, masyarakat di kawasan itu perlu memilih di antara mengundi seorang ahli parlimen yang hanya mempunyai personaliti besar atau seorang ahli parlimen yang boleh melaksanakan tugasan dan menyelesaikan masalah rakyat.

Menurutnya, beliau teruja akan beroleh kemenangan pada PRU14 ini kerana meskipun tidak menang pada PRU13, jentera Raja Nong Chik tetap menjalankan tugasan seakan-akan 'ahli parlimen' selama lima tahun yang lalu.
“Rakyat Lembah Pantai sudah tentu boleh menilai kerja yang sudah dilakukan selama lima tahun yang lalu. Saya bukannya hanya menunjuk-nunjuk menjelang PRU.

"Dulu, semasa saya jadi menteri, saya mempunyai lebih kemampuan. Selama lima tahun yang ​lalu, saya memberi kepada rakyat ​di kawasan ini ​daripada pebagai segi menggunakan kemampuan peribadi dan bantuan kawan-kawan," dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.
Raja Nong Chik merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan kalah dengan sebanyak 1,847 majoriti di PRU13.
"Undi bagi saya akan datang lebih dari kawasan-kawasan sekitar Pantai Dalam. Di sini, aduan utama rakyat adalah MP pembangkang (Nurul Izzah Anwar dari parti PKR) gagal melaksanakan tanggungjawab,” kata Raja Nong Chik.



Bagi para pengundi yang berpendapatan dan berpendidikan lebih tinggi di persekitaran Bangsar, Raja Nong Chik berkata beliau berjanji akan menyuarakan kegusaran mereka mengenai pembangunan yang mendadak dan tidak teratur di Dewan Rakyat.
Ujarnya lagi, segmen para pengundi ini yang lebih peka kepada isu nasional, tidak seharusnya menghukum BN secara keseluruhannya hanya kerana beberapa "kesalahan kecil".
“Lihatlah kepada gambaran yang lebih besar. Mungkin ada kesalahan kecil, seperti 1MDB dan sebagainya, tapi lihatlah kepada komitmen dan program untuk rakyat yang telah dilakukan oleh pemimpin UMNO dan BN.
“Saya juga pernah bermastautin di Bangsar dan saya juga tahu akan jenis pembangunan yang tidak diingini oleh segmen pengundi ini,” kata Raja Nong Chik.
Pengerusi UMNO Lembah Pantai yang berusia 65 tahun itu juga berkata penduduk tidak perlu bimbang akan kesihatannya sekiranya menjadi ahli parlimen ​kerana beliau masih sihat.
“Saya merasakan saya s​ekuat seorang lelaki 40 tahun,” katanya.
Ikuti temu bual sepenuhnya di www.awanireview.com.