Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengingatkan anggota parti itu di negeri ini supaya memilih calon Timbalan Presiden yang tepat, yang seterusnya dapat membantu proses menawan Sarawak pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Rafizi yang bertanding merebut jawatan berkenaan menentang penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sekiranya dipilih beliau akan menyusun strategi untuk menambah tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki ketika ini kepada 18 kerusi serta seterusnya menawan Sarawak sebagai kerajaan.

Katanya dalam barisan parti politik di Sarawak ketika ini, PKR berada di kedudukan terbaik menjadi pilihan rakyat negeri untuk membawa soal dan hak Sarawak dalam Persekutuan dikuatkan lagi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal diangkat menjadi Perdana Menteri.

"Sebab itu pemilihan Timbalan Presiden bukan soal siapa lawan siapa, bukan soal tua lawan muda, soal yang ada jawatan lawan yang tiada jawatan. Ini soal strategik, peluang untuk menang, menyusun organisasi parti untuk menyiapkan kita dalam dua tahun ini.

"Sekiranya Perdana Menteri adalah Presiden kita, itu kedudukan terbaik untuk sahabat-sahabat PKR Sarawak membawa suara negeri dan mengatasi parti-parti yang selama ini memberi pelbagai janji kepada orang Sarawak.

"Masa depan dan kedudukan orang Sarawak peluangnya paling cerah untuk kita kembalikan apabila Anwar jadi Perdana Menteri kelapan, tetapi dengan satu syarat PRN Sarawak kita kena pastikan PKR," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Debat Reformasi 20 Tahun yang turut dihadiri sebahagian pimpinan Reformasi 20 Tahun dan penyokong parti itu daripada pelbagai cabang seluruh negeri di sini, hari ini.

Rafizi berkata beliau juga akan membawa suara hati rakyat negeri ini dalam memastikan autonomi PKR Sarawak serta hak negeri dihormati.

Katanya beliau akan mengambil peranan mendidik supaya lebih ramai pimpinan PKR pusat berani bangun menyuarakan secara berterusan soal kedudukan Sarawak dan tidak lagi hanya menjadi isu mainan ahli politik apabila tiba waktu pilihan raya.

"Saya nak nyatakan kepada kawan-kawan di Sarawak, ramai jadi saksi (di sini hari ini) dan ditonton di luar oleh orang Semenanjung juga masanya sudah tiba pimpinan pusat PKR bila kita kata hormat autonomi yang ada kepada PKR Sarawak, itu bukan hanya cakap di bibir.

"Itu maksudnya bila balik ke Semenanjung, ke Kuala Lumpur kita mesti ambil peranan, Timbalan Presiden mesti ambil peranan mendidik sahabat-sahabat di Semenanjung bahawa ini harapan, hakikat yang dikehendaki sahabat di Sarawak yang mesti dihormati," katanya.

-- BERNAMA