Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Adenan Satem yakin partinya mampu mengembalikan sebahagian daripada sokongan kaum Cina pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) Ke-11 kali ini.

Namun, beliau tidak mengetahui sejauh manakah sokongan tersebut dapat memenangkan kerusi untuk calon-calon BN di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang mereka tandingi.

"Sudah tentu ada sebilangan yang kembali menyokong BN.

"Namun, saya sendiri tidak pasti adakah ianya (sokongan kaum Cina) cukup untuk menang di kerusi majoriti Cina," kata Adenan pada sesi bersama media di sini petang tadi.

Apabila ditanya kerusi mana yang disasarkan beliau, Adenan enggan mengulas lanjut.

"Your guess is as good as mine (Andaian anda lebih kurang seperti andaian saya),” katanya lagi.

Beliau turut mengulangi kepentingan representasi kaum Cina di peringkat kerajaan negeri.

"Kita mahukan wakil dari setiap komuniti serta kaum di sini," tambah Adenan.


Sementara itu beliau berkata masih tidak berpuas hati dengan apa yang telah dilakukannya untuk rakyat Sarawak dan mengharap diberikan mandat untuk lima tahun lagi.

Berkenaan isu pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dibangkitkan oleh pembangkang, Adenan berkata Malaysia bukan satu-satunya negara yang melaksanakannya.

"Banyak negara telah melaksanakan GST. Adakah tindakan kesemua negara ini salah?" tanya Adenan.

Adenan sebelum ini menjangkakah BN mampu menang tidak kurang daripada 70 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN kali ini.

Rakyat Sarawak akan keluar mengundi Sabtu ini.

Dinasihatkan berehat sehari oleh doktor

Sementara itu spekulasi mengenai tahap kesihatan Ketua Menteri Sarawak itu berakhir selepas beliau tampil menemui pihak media petang ini, segak seperti biasa.

"Memang saya kurang sihat semalam.

"Saya sakit kepala dan demam sedikit. Oleh itu, doktor menasihati untuk saya berehat sehari," jelas Adenan.

Tambahnya, jadual beliau yang sangat ketat untuk beberapa minggu sebelum ini memberi impak kepada kesihatannya.

"Selepas berehat seharian, kini saya datang sini untuk menemui anda, tampan seperti selalu," kata beliau sambil ketawa kecil.

Hari ini, Adenan membatalkan beberapa program di sebelah pagi dan awal petang.