Malang berganda menimpa calon DAP yang juga penyandang kerusi DUN Batu Kawah, Christina Chiew Wang See.

Awal hari ini, Chiew dilaporkan mengalami keguguran dan ketika proses pengiraan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Sim Hui Kian.

Memetik laporan MalaysiaKini, Chiew berkata dia mengambil keputusan untuk mengaku kalah selepas melihat Dr Sim mendahului undian dan menganggap ia terlalu sukar untuk ditandingi.

Chiew mengaitkan kekalahannya dengan peratusan keluar mengundi yang rendah terutamanya kalangan pengundi muda.

"Jumlah pengundi muda hanya 50 peratus dan ia tidak membantu kami," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang melalui Twitternya berkata, Chiew mengalami keguguran disebabkan usahanya berkempen di kawasan Batu Kawah.

IKUTI LAPOR LANGSUNG PILIHAN RAYA SARAWAK DI SINI


Sementara itu, Dr Sim yang juga pakar jantung dan Presiden Persatuan Jantung Negara Malaysia mengharapkan agar Chiew segera pulih.

Bercakap kepada pemberita di SMK Bandar Kuching No 1, Ketua SUPP itu mengingatkan Chiew bahawa kesihatannya adalah lebih penting daripada politik.

"Jika saya adalah dia, saya tidak akan mati untuk politik," katanya seperti dilaporkan New Straits Times.

PRN Sarawak ke-11, menyaksikan BN terus menguasai Bumi Kenyalang selepas memenangi majoriti dua pertiga.