Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jentera BN akan turun padang bagi memberi penerangan mengenai kedudukan bekas anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Watson Bangau yang bertanding di kerusi Bawang Assan atas tiket calon bebas.

Ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi Bawang Assan yang mungkin beranggapan bahawa Watson masih mewakili BN.

"Kami sudah membuat pengumuman bahawa mana-mana ahli PBB yang bertanding sebagai calon bebas secara automatik dipecat dan bukan lagi ahli PBB.

"Kita akan berjumpa dengan semua pengundi dan penyokong kuat BN agar jangan mengundi Watson dan sebaliknya mengundi calon BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pameran Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart di sini.

Watson, yang juga bekas setiausaha politik ketua menteri itu dipecat daripada PBB, Isnin lepas, selepas beliau bertanding kerusi DUN Bawang Assan atas tiket calon Bebas.

Bagaimanapun, Fadillah yang juga Ketua Pemuda PBB tetap yakin bahawa Watson tidak akan menang biarpun dikatakan mempunyai pengaruh kuat ke atas pengundi Iban di Bawang Assan.

"Kalau semua undi Iban pergi kepada dia (Watson), dia pun tidak akan menang. Jadi kenapa tidak berikan undi itu kepada calon yang mewakili BN. Kita sudah mengerahkan jentera kita untuk berkerja keras. Ia bukan perkara mudah tetapi kita akan bekerja keras," katanya.

Justeru beliau menyeru pengundi Bawang Assan agar mengundi calon BN Datuk Seri Wong Soon Koh, dan bukan bekas anggota parti itu bagi memastikan pembangunan dapat diteruskan di kawasan berkenaan.

DUN Bawang Assan menyaksikan pertandingan lima penjuru, termasuk Wong yang mewakili BN, calon STAR Wong Sing Wei, calon DAP Chiew Sung Ngie dan dua calon bebas, Watson dan Yeu Bang Keng.