Barisan Nasional (BN) tidak akan menerima mana-mana calon Bebas sebagai anggotanya walaupun mereka menang pada Pilihan Raya Negeri ke-11, 7 Mei ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, calon Bebas tidak akan mampu berbuat apa-apa jika mereka menang sekalipun.

"Jadi, kita ada dua calon yang kita boleh sokong iaitu calon langsung BN di Bekenu (Rosey Yunus) dan calon BN di Lambir, Ripin Lamat," katanya ketika mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 2,300 penduduk tempatan di Sibuti, Bekenu, 50km dari sini, hari ini.

Justeru itu, Najib mahu pengundi di kawasan dun Bekenu dan Lambir menggunakan kuasa undi mereka dengan bijak demi menjamin masa depan yang cerah kerana pembangkang katanya hanya boleh menabur janji dan mengapi-apikan hati rakyat, tetapi tidak mampu menunaikan janji mereka.

Rosey, penyandang kerusi itu akan ditentang calon PKR dan dua calon Bebas, manakala Ripin berdepan calon PAS dan PKR.

Najib turut merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sibuti, yang merupakan RTC kedua di Sarawak selepas RTC Betong.

Pada majlis yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM94.8 juta bagi menyalurkan bekalan air di Dun Bekenu, yang akan bermula selepas pertengahan tahun ini.

Menurut beliau, kemudahan ini akan memberi faedah kepada beberapa kampung termasuk kampung Niah dan Kampung Mandau dekat sini.

Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan RM1.5 juta, masing-masing untuk membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi zon Bekenu dan zon Lambir.