Pembangunan yang bersifat inklusif oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan sekadar menabur janji manis atau retorik politik tetapi disusuli dengan perancangan yang jelas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perancangan dasar pembangunan negara dirancang dengan teliti mengikut kemampuan kerajaan dan kedudukan kewangan negara untuk dilaksanakan.

Beliau berkata BN mempunyai iltizam politik untuk menguruskan ekonomi dan sumber negara dengan cekap dan ini terbukti apabila kedudukan kewangan negara kini sihat dan kukuh.

"Kalau tak ada sumber kewangan dan kita tidak cekap urus ekonomi negara, tak akan saya boleh agihkan peruntukan besar untuk pembangunan luar bandar," katanya ketika berucap di hadapan 3,000 masyarakat Kayan di Long Luput, di sini, hari ini.


Hadir sama Temenggong masyarakat Kayan daerah Baram, Elizabeth Ding dan calon BN untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan, Dennis Ngau.

Antara lain, Najib berkata untuk Sarawak sahaja, kerajaan sebelum ini telah meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi pembangunan luar bandar dan memperuntukan RM50 juta di bawah Skim Pinjaman Rumah Panjang.

Najib menarik perhatian, pembangunan inklusif adalah falsafah yang dipegangnya apabila dilantik menjadi Apai Besar Malaysia atau 'Amai Ayak', gelaran yang diberi oleh masyarakat Kayan.

"Memang menjadi hasrat saya supaya kita dapat membangunkan negara kita secara inklusif supaya tak ada mana-mana komuniti termasuk komuniti yang kecil seperti komuniti Kayan ini pun mesti dapat nikmat daripada pembangunan yang di bawa kerajaan BN," katanya.

Beliau percaya semua kaum dan kawasan dalam negara berhak mendapat masa depan yang lebih baik dan beliau bersedia membantu dalam mencapai matlamat berkenaan.

"Kerana saya percaya, anda berhak untuk masa depan yang lebih baik, maka saya ada di sini untuk membantu anda mencapai impian itu...tetapi bantulah saya dengan memberi sokongan anda kepada Dennis Ngau kerana melaluinya saya dapat berkhidmat kepada anda dengan lebih baik sebagai Amai Ayak," katanya.

Najib berkata pendekatan BN mendengar denyut nadi masyarakat dan menyahut permintaan masyarakat dilihat berjaya mengubah trend sokongan masyarakat di DUN Telang Usan.

"Bila suara rakyat didengar, rakyat akan tetap beri keyakinan kepada sebuah kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengundi di DUN Telang Usan untuk membuat penilaian jangka masa panjang sebelum mengundi bagi memastikan perubahan yang diperlukan di kawasan itu dapat dilaksanakan.

Katanya dasar-dasar pembangunan negara memerlukan kesinambungan untuk membawa perubahan di kawasan tengah Baram.

"Sebab itulah hanya kerajaan BN sahaja ada rekod pencapaian untuk bangunkan kawasan luar bandar...pembangkang tak mampu penuhi harapan tuan-tuan dan puan-puan," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menunaikan permintaan Elizabeth secara spontan bagi mendapatkan peruntukan meratakan tapak bagi pembinaan rumah panjang baharu 150 pintu di Long Laput, selain pembinaan sebuah dewan serbaguna bagi kawasan Long Laput.

Najib turut melancarkan skim pinjaman rumah tanpa faedah bagi pembinaan rumah panjang 150 pintu dan 128 pintu masing-masing di Long Laput dan Long Loyang.

Pada pilihan raya negeri kali ini, Ngau akan ditentang oleh calon PKR, Roland Engan dalam pertandingan satu lawan satu.