Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro hari ini menerima khabar gembira apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM54.3 juta bagi penyambungan bekalan air paip dan pembesaran paip sedia ada.

Pengumuman perdana menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu disambut tepukan dan sorakan gemuruh daripada lebih kurang 2,000 penduduk yang menghadiri perasmian Sekolah Kebangsaan Pusa, kira-kira 70km dari sini.

Menurutnya, kerja penyambungan paip bekalan air itu bermula hari ini melalui peruntukan RM44.3 juta, dan dijangka siap menjelang November tahun depan.

"Saya juga telah diberitahu oleh calon kita (Razaili Gapor untuk DUN Beting Maro) bahawa di sini, paip air juga agak kecil, dan dengan ini saya luluskan peruntukan RM10 juta untuk membesarkan paip ini," katanya.

Najib berkata penyediaan kemudahan asas sentiasa menjadi agenda utama kerajaan BN khususnya bagi meningkatkan lagi kehidupan rakyat di luar bandar.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan persekutuan bercadang menyiapkan kerja pembaikan 183 buah sekolah daif di Sarawak menggunakan kaedah pembinaan cepat Sistem Pembinaan Bersepadu (IBS) dalam tempoh tujuh tahun. Sebagai permulaan, lapan bangunan sekolah telah dan sedang disiapkan menggunakan kaedah itu, yang hanya memerlukan tempoh kira-kira lapan minggu.

Najib menarik perhatian bahawa pembangunan modal insan merupakan antara agenda utama kerajaan BN selama ini bagi membolehkan generasi baharu daripada golongan berpendapatan rendah turut mengecapi kehidupan lebih baik.

"Melalui pendidikan, kita dapat mengubah hidup bukan sahaja satu generasi, malah generasi seterusnya," kata beliau.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan warta tanah Hak Adat Bumiputera kepada empat buah kampung di kawasan Beting Maro.