Pemilihan calon terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 kali ini seumpama menikmati kek lapis Sarawak yang paling sedap.

Bagaimana tidak, Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak, Dayang Saidah Abang Julhi berkata, kenikmatan kek itu boleh diibarat kemajuan yang bakal diperolehi dalam masa lima tahun akan datang.

"Kek lapis juga seperti tanda perpaduan kaum di Sarawak sama seperti makanan tradisi di negeri-negeri lain di Semenanjung.

"Kami membuat pelbagai jenis kek lapis ini sama seperti pilihan raya juga. Sebab pembelinya ada bermacam bangsa yang datang Sarawak, semua jenis parti ada, pandai-pandailahlah kita memilih parti sama seperti kita memilih kek lapis Sarawak.

"Paling penting kita gemar, sama seperti melihat kempen Sarawak ini ada bermacam warna di tepi jalan, kita pilihlah warna mana yang memimpin kita, macam kek lapis juga, mana yang paling sedap itu yang kita beli," katanya ketika ditemui di premisnya di sini hari ini.

Kek lapis merupakan sejenis kuih pemanis mulut yang wajib ada di atas meja di rumah masyarakat Melayu Sarawak.
Dayang Saidah juga merupakan pemilik jenama kek lapis Sarawak Dyg & Dyg's yang memiliki tiga premis di sekitar bandaraya Kuching.

Dayang Saidah pernah dianugerahkan Usahawan Bumiputera Sarawak dalam kategori Usahawan Harapan Wanita pada 2013.

Dia juga merupakan Presiden Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak yang keempat sejak ia ditubuhkan 10 tahun lepas.

Dayang Saidah Abang Julhi berkata, kenikmatan kek itu boleh diibarat kemajuan yang bakal diperolehi dalam masa lima tahun akan datang.
Kek lapis merupakan sejenis kuih pemanis mulut yang wajib ada di atas meja di rumah masyarakat Melayu Sarawak.

Ia turut menjadi kegemaran masyarakat di Semenanjung yang menjadikannya buah tangan utama apabila mengunjungi Sarawak.

Antara kek lapis yang terkenal di premisnya adalah Masam Manis, Evergreen Gula Apong, Kek Lapis Dyg & Dyg's dan Lapis Lumut. - Foto Astro AWANI / Wan Syamsul Amly
Dalam pada itu, Pengurus Promosi dan Pemasaran Masnik Enterprise yang mengeluarkan produk kek lapis Dyg & Dyg's, Mashan Ahmad Rais berkata, kek lapis mereka sudah menembusi pasaran Semenanjung dan Brunei terutama menjelang musim perayaan.

"Apabla musim perayaan kita kena buat stok banyak-banyak sebab selalunya pada musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, sudah menjadi kewajipan untuk mereka menghidangkan kek lapis ini.Tidak semestinya kek lapis ini untuk orang Melayu sahaja," jelasnya.

Antara kek lapis yang terkenal di premisnya adalah Masam Manis, Evergreen Gula Apong, Kek Lapis Dyg & Dyg's dan Lapis Lumut.

Difahamkan, sejarah kek lapis bermula di Betawi, Indonesia, pada sekitar tahun 70-an dan 80-an.

Ia dibawa Orang Betawi yang datang ke Sarawak dan mengajar cara membuat kek Betawi rempah.

Namun, orang Sarawak yang kreatif menambah perisa, corak dan bahan-bahan yang dicampurkan dan terhasil kek lapis seperti yang ada kini dan dinamakan kek lapis Sarawak.

Proses pengundian bagi 80 kerusi Dun Sarawak bakal berlangsung 7 Mei ini dengan dua lagi kerusi telah dimenangi calon BN tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada Isnin.

Untuk kisah-kisah menarik seperti di atas dan liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com