Usah terpedaya dengan rayuan pihak-pihak tertentu yang cuba meraih undi dengan mendakwa mereka adalah calon "Mesra Barisan Nasional" (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11.

Ini kerana wakil BN sudah dipilih oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menerusi calon yang diletakkan di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebagai contoh, Ketua Menteri telah melantik Rosey Yunus sebagai calon BN di Bekenu, maka tiadalah calon BN lain yang bertanding di Bekenu seperti yang didakwa.

"Jangan percaya akan pujukan orang meraih undi mengatakan mereka adalah calon bebas yang mesra BN kerana di Bekenu, hanya Rosey Yunus adalah wakil Adenan Satem iaitu Pengerusi BN Sarawak.

"Bila tiba hari mengundi pada 7hb Mei nanti, fokuskan minda dan undi calon BN Rosey Yunus sahaja kerana kita mahu Rosey (BN) menang dan memberi mandat besar kepada Adenan," katanya ketika mengadakan perbincangan bersama penduduk setempat di Dewan Masyarakat Kampung Tanjung Berlipat, Bekenu dalam lawatan kerja seharinya di Miri pagi tadi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Santubong menambah, banyak yang telah Ketua Menteri lakukan dalam tempoh dua tahun beliau memimpin Sarawak maka wajarlah beliau diberi lima tahun lagi untuk mentadbir agar lebih banyak pembangunan boleh dilaksanakan.

Dalam pada itu, Junaidi menjelaskan, biarpun peparitan di kawasan kampung bukan di bawah kementeriannya tetapi di bawah kawal selia Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) negeri serta Jabatan Kerja Raya, beliau bertindak untuk turun padang dan melihat sendiri permasalahan yang berlaku.

"Saya telah mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar menghulurkan bantuan kepada kerajaan negeri Sarawak bagi melaksanakan projek parit induk (utama) bagi mengeluarkan air hujan mengelakkan air bertakung dan menjurus kepada kejadian banjir."

Bagi mengatasi permasalahan sistem perparitan di Kampung Tanjung Berlipat, Bekenu, Junaidi menyatakan, beliau telah mengarahkan agar jurutera dari JPS untuk membuat kajian di kawasan tersebut dalam masa yang terdekat sebelum menentukan kos sebenar projek.