Pengalaman beliau bertanding dalam pilihan raya buat pertama kali pastinya sesuatu yang baharu buat bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya.

Beliau diletakkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) N44 Jemoreng.pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 kali ini.

Daripada memikul tanggungjawab penting dalam pentadbiran agama Islam selama 20 tahun, dan kini ke dunia politik, Dr Juanda mengakui cabaran yang dihadapinya kini tidak boleh dipandang ringan.

Biarpun setiap hari memberikan ilmu baharu buat beliau yang mula berjinak-jinak dalam dunia politik, beliau membayangkan cabaran sebagai ahli politik jauh lebih besar.


"Setakat jadi mufti selama 6 tahun dan timbalan mufti selama 3 tahun, saya rasa sebagai seorang mufti cabaran dia amat besar, agak berbeza tetapi sebagai seorang ahli politik.

"Barangkali cabaran dia jauh lebih besar dalam bagaimana kita seimbangkan kuasa dan bagaimana membawa rakyat ke arah sebuah pembentukan negara yang sejahtera," katanya selepas ditemui pemberita pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tian di sini pada Sabtu.

membayangkan cabaran sebagai ahli politik jauh lebih besar.
Berasal dari Kampung Igan yang terletak dalam kawasan Dun Jemoreng, fokus Dr Juanda, sekiranya terpilih sebagai Adun adalah bagi memajukan kawasan pedalaman khususnya dalam aspek pendidikan.

"Hasrat besar saya kerana saya datang dari kawasan ini, berbangsa Melanau, lahir di sini, membesar di sini, merasai kesusahan di sini, ialah untuk membangunkan aspek pendidikan untuk kawasan Melanau.

"Ini kerana saya sendiri Alhamdulillah memperolehi pendidikan sampai tahap yang paling tinggi tetapi bukan di tempat saya sendiri, saya pergi ke Semenanjung. Sudah pasti kita mahukan kemudahan pendidikan yang terbaik," katanya.

Kerusi Jemoreng menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Dr Juanda dari BN, calon Amanah, Kiprawi Suhaili dan calon Bebas, Abdullah Saminan.

BN dilihat mempunyai peluang yang cerah di Jemoreng selepas menampilkan calon muka baru, Dr Juanda yang merupakan personaliti terkenal dan disifatkan sebagai calon berwibawa.

Selain bekas mufti, beliau juga merupakan bekas felo di Universiti Oxford United Kingdom.

Pada PRN Sarawak 2011, Abu Seman Jahwie dari BN menang di Jemoreng dengan majoriti 2,926 undi menentang calon bebas.

Buat pertama kalinya, dalam PRN kali ini, parti Amanah turut bertanding di kerusi berkenaan.