Parti Keadilan Rakyat boleh memastikan Tun Dr Mahathir Mohamad mengotakan janjinya untuk menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika membentuk kerajaan sekali lagi, kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Loke berkata, sebagai sebuah parti yang mempunyai 38 ahli parlimen, PKR boleh menarik balik sokongan sekiranya Dr Mahathir enggan mengotakan janjinya.

"Sudah tentu, orang boleh mempersoalkan apakah beliau (Mahathir) akan menepati janjinya. Jawapan kami adalah bahawa dalam masa enam bulan lagi, ada mekanisme untuk memastikan beliau berundur.

"PKR ada 38 wakil parlimen. Tanpa mereka, Mahathir tidak dapat meneruskan pemerintahan.

"Setiap parti (komponen PH) akan dapat menjatuhkan kerajaan jika mereka menarik sokongan. Sekiranya janji itu tidak ditepati (oleh Mahathir), PKR mempunyai pilihan untuk memaksa pilihan raya pada waktu itu," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam temubual tersebut, Loke menjelaskan DAP cenderung untuk belajar dari kesilapan masa lalu daripada menuding jari siapa yang bertanggungjawab atas kejatuhan kerajaannya pada Februari lalu.

“Sudah pasti jika saling menyalahkan, semua akan menyalahkan satu sama lain. Kami sedia belajar dari kesilapan lalu dan teruskan.

“Jika mahu saling menyalahkan, sebelah pihak akan salahkan Dr Mahathir, dan pihak satu lagi akan salahkan yang lain. Tidak akan ada penghujung.

“Saya tidak amenyatakan beliau tidak membuat sebarang kesilapan. Kami sudah maklumkan kepadnaya beliau meletakkan jawatan tanpa merujuk sesiapa dan itu menyebabkan kejatuhan kerajaan,” katanya,

DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dilaporkan bersetuju untuk sekali lagi memilih Dr Mahathir sebagai perdana menteri manakala Anwar pula menggalas jawatan timbalan perdana menteri.

Gabungan Mahathir dan Anwar dicadangkan setelah cadangan pertama mengandingkan Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak dipersetujui Warisan yang juga sekutu Pakatan Harapan.