Cabaran sebagai parti tonggak Kerajaan Persekutuan nyata berbeza dan memberi Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu pengalaman yang lebih besar, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Namun, tegas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, PKR perlu lebih matang dalam menangani cabaran sedemikian, tidak mudah terpengaruh dengan taktik pihak lawan terutamanya pembangkang, serta fokus dalam meyakinkan rakyat mengenai kebolehan mereka mengurus tadbir negara.

Memetik isu-isu yang sering dipermainkan, antara lainnya, perkahwinan bawah umur, Oktober Fest, LGBT dan banyak lagi, beliau sedia maklum semua itu strategi pihak lawan untuk memainkan isu perkauman dan agama.

“Semua isu ini mempunyai nada perkauman dan nadanya untuk mengadu domba sentimen agama.

“Dah enam bulan jadi kerajaan, tajuk-tajuk ini yang paling banyak diperkatakan. Tetapi kenapa kita mesti benarkan lawan politik bawa kita menari dalam gelanggang dia? Sebagai parti kerajaan kita mesti alih tumpuan kerajaan lihat keupayaan kita sebagai parti pemerintah,” katanya ketika menggulung Kongres Nasional Keadilan ke-13 di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Saifuddin berkata, PKR komited untuk terus memegang kepada keputusan yang dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Harapan, iaitu terus memastikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri ke-lapan.

“Resolusi sebut, calon Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, calon TPM Wan Azizah, calon bakal PM Datuk Seri Anwar. Keputusan Majlis Presiden menamakan tiga tokoh ini tidak diikat dengan jawatan apa yang disandang dalam parti.

“Saya nak usul untuk kita sepakati, PKR dalam kongres tahun ini, mengangkat satu syor supaya Dr Wan Azizah kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga peralihan kepimpinan berlaku pada masa depan,” katanya, sambil diberi sorakan tanda setuju oleh para perwakilan.