Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menggesa pimpinan parti tidak mengeluarkan kenyataan yang semakin menjejaskan keharmonian parti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pimpinan parti itu sepatutnya perlu memberi sokongan padu kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut dan masalah yang melanda parti.

"Setelah berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat dan memegang majoriti kerusi parlimen pimpinan dan ahli-ahli parti perlu fokus mengisi Malaysia Baharu dengan menjayakan agenda reformasi serta perubahan ke arah yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata MPN Sabah menyokong penuh kepimpinan Anwar dalam usaha menyatukan kembali pimpinan parti dan ahli-ahli yang sedang bergolak ketika ini.

Katanya, kenyataan Anwar perlu diberi disokong agar isu ini tidak menjejaskan usaha untuk memulihkan ekonomi rakyat yang semakin meruncing ketika ini.

Rakyat mahu kerajaan Pakatan Harapan menumpukan usaha kepada isu-isu pembangunan dan peningkatan ekonomi dan bukannya dipaparkan dengan persengkataan pimpinan, katanya.

Justeru, Christina mahu agar pimpinan terutama di Sabah dan ahli-ahli bersatu hati dan fokus kepada isu-isu rakyat serta pemantapan cabang masing-masing.

-- BERNAMA