Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil pendekatan yang inklusif dalam menjalin kerjasama dengan semua parti dan individu termasuk dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Islam Semalaysia (PAS).

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata, faktor tersebut diambil kira asalkan parti dan individu itu berpegang kepada prinsip untuk melakukan islah serta pembaharuan.

"Kalau mana-mana parti atau individu dapat bersama dalam perjuangan ini, kita kena bekerjasama kerana hasrat kita adalah untuk melihat kezaliman dan kemungkaran ekonomi dan politik diubah," ujar beliau.

Menurutnya, PKR tidak mungkin dapat melakukan perubahan secara bersendirian.

"Pemimpin mesti ada sifat tawaduk dan rendah diri untuk bekerjasama serta mendengar pandangan pihak lain," kata beliau sewaktu ditemui selepas menghadiri majlis ibadah korban di Masjid Sultan Muhammad Shah, Sungai Besar, Sabak Bernam pada Jumaat.

Ditanyakan sama ada Amanah akan diberikan jawatan exco dlm kerajaan negeri, Azmin cuma menjawab, kerajaan Selangor yang dibentuk hari ini adalah hasil muafakat dan persepakatan sejak pilihan raya umum 2013.

"Kita bertanggungjawab dengan mandat yang diberikan itu untuk memberikan khidmat sehinggalah tempoh yang akan datang.

"Pakatan Harapan dibentuk selepas kerajaan negeri ditubuhkan. Saya juga telah mendapat sokongan secara bertulis daripada kedua-dua ahli dewan negeri Selangor yang telah menyertai Amanah iaitu dari Ulu Kelang dan Morib," jelasnya yang juga Menteri Besar Selangor.

Mohamed Azmin juga berkata, sidang meja bulat baru-baru ini akan disusuli dengan pertemuan selanjutnya dan mengharapkan semua pihak dapat hadir dan melontarkan pandangan dalam pelbagai isu seterusnya mencapai kesepakatan dan penyelesaian.