Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin akan berlaku perebutan kerusi antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ia berikutan beliau percaya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan memberi laluan mudah kepada parti yang baharu ditubuhkan.

"Dia (Bersatu) rasa dia kuat jadi semua tempat dia nak bertanding. Saya percaya semua orang berasakan ada peluang, semua orang berebut nak bertanding nak berebut di kerusi yang sama, saya rasa mereka akan bertelagah untuk merebut kerusi," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penganugerahan Syarikat dan Koperasi Terbaik Tahun 2015 di Ibu Pejabat Risda di sini hari ini.

Menurutnya, tiada masalah untuk parti Bersatu bertanding di semua kerusi yang dipertandingkan UMNO jika merasakan mereka cukup kuat.

"Kalau Bersatu kuat, elok bertanding di semua tempatlah. Saya rasa saya percayalah, akhirnya mereka akan berebut kerusi," katanya lagi.

Beliau turut memberi contoh, pertembungan antara Parti Amanah Negara (PAN) dan PAS semasa Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar juga membuktikan perebutan kerusi yang akhirnya menyebabkan pertandingan beberapa penjuru.

"Semasa PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, tentu sahaja PAS kata tidak boleh sebab PAS kata dia ada peluang untuk menang. Selepas PRK, dia mahu kukuhkan kedudukan dia di kawasan itu, namun tiba-tiba PAN yang baru tubuh nak masuk, itu yang berlaku pertandingan beberapa penjuru," kata beliau.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Isnin menegaskan, parti itu tidak gentar dengan hasrat Bersatu yang ingin bertanding di beberapa kerusi parti itu dalam PRU ke-14 nanti.

Bagaimanapun, parti itu sedia berbincang dengan parti berkenaan mengenai perkara itu, selepas pendaftarannya diluluskan.

Bersatu sehingga kini masih dalam proses mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) selepas presiden penaja, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan borang permohonan pendaftaran parti itu di pejabat RoS, Putrajaya pada 9 Ogos lalu.