PETALING JAYA:Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan rundingan segera Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan di Sidang Dewan Rakyat pada 6 November depan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan pada Khamis.

"Majlis Presiden PH juga mengambil maklum titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah bahawa semua Ahli Parlimen untuk memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 demi kelangsungan kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.

"Atas sebab-sebab ini Majlis Presiden Pakatan Harapan amat bersetuju dengan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan Pembangkang sebelum dibentang di Parlimen.

"Maka Perdana Menteri harus menjunjung titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak Pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November, supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku," jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia dari wabak COVID-19.

"Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia dari wabak Covid-19. Ia juga perlu menetapkan hala tuju yang mampu memastikan Malaysia akan terus maju sewaktu dan selepas pandemik.

"Ia termasuk dengan mengenalpasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi serta membantu jutaan rakyat Malaysia yang terkesan sama ada akibat kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada tahun 2020 ini.

"Berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini. Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan," jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Majlis Presiden PH menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menolak permohonan Perdana Menteri mengisytiharkan darurat.

Majlis Presiden Pakatan Harapan juga menjunjung kasih terhadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja di atas penolakan berprinsip terhadap permohonan Perdana Menteri untuk mengisytihar darurat.

Kenyataan Majlis Raja-Raja bertarikh 25 Oktober menjelaskan pertimbangan yang telah diambil kira oleh Raja-Raja Melayu dalam isu yang amat serius ini.

"Duli-Duli Tuanku amat sedar tentang hak dan budi bicara serta peranan seperti yang termaktub di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dalam mengimbangi pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa, dan telah membuat keputusan berdasarkan perkara tersebut," jelas kenyataan itu lagi.