Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadapi saingan empat penjuru di Parlimen P085 Pekan, dengan pencabar beliau terdiri daripada Mohd Zahid Md Arip (PPBM), Kapt (B) Ahiatudin Daud (Pas) dan Datuk Abdul Kadir Sainuddin (Bebas).

Pengumuman itu disampaikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Pekan Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus pada pukul 11.20 pagi tadi.

Datuk Seri Najib, yang juga Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO, kelihatan ceria apabila menerima sorakan daripada penyokong Barisan Nasional sejurus namanya diumumkan Pegawai Pengurus SPR.

Pada PRU13, Datuk Seri Najib menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Fariz Abd Talib dengan majoriti 35,613 undi.


Selain itu, Md Yusli Ibrahim turut mengumumkan nama-nama calon yang diterima bertanding bagi keempat-empat DUN di bawah Pekan, iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini.

Bagi N20 Pulau Manis, penyandangnya dari UMNO / Barisan Nasional Datuk Khairudin Mahmud akan menghadapi saingan dari calon PPBM, Abu Bakar Lebai Sudin dan calon Pas, Kapten (B) Zainuddin Noh, yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pekan.

Di N21 Peramu Jaya, penyandang Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali dari UMNO / Barisan Nasional sekali lagi akan berhadapan dengan Yang Dipertua Pas Pekan, Abu Kassim Manaf, selain turut dicabar calon PPBM, Datuk Salim Abd Majid.

Untuk N22 Bebar pula, penyandangnya Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dari UMNO / Barisan Nasional turut menghadapi saingan tiga penjuru dengan dicabar calon PPBM, Afif Syirol Abdul Rahman, dan AJK Pas Pekan, Mohd Nazhar Othman.

Dan bagi DUN terakhir di Parlimen Pekan, iaitu N23 Chini, penyandangnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Datuk Seri Abu Bakar Harun akan menghadapi saingan Mohd Razali Ithnain dari PPBM, dan Yang Dipertua Pas Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim.

BACA: Tiada masalah BN pertahankan Pekan dan empat DUN di bawahnya