DUA kali Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak, yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen P085 Pekan, ditanya media apa pandangan beliau mengenai mereka yang mencabarnya di Parlimen itu, dan dua kali juga soalan itu hanya dibalas dengan lambaian dan senyuman sinis.

Untuk rekod, kali ini Pengerusi BN itu diberi cabaran oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan mempunyai pertalian darah dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, iaitu Mohd Zahid Md Arip.

Media adakalanya terkeliru sama ada benarkah beliau ini cucu kepada negarawan itu. Jawapannya tidak, kerana hakikat sebenarnya isteri Tun Ghafar dan nenek Mohd Zahid, sebenarnya adik-beradik.

Selain itu, turut mencalonkan diri masing-masing semalam ialah Naib Yang Dipertua Pas Pekan, Kapten (B) Ahiatudin Daud, dan calon Bebas, Datuk Paduka Abd Kadir Sainudin.

Zahid, ketika ditemubual media semalam, mengakui bukan mudah untuk menggoncang kubu kuat Perdana Menteri itu, tetapi beliau tetap yakin majoriti pengundi yang inginkan perubahan akan berpihak kepadanya.

Abdul Kadir pula, sukar hendak diketahui niat sebenarnya. Bekas calon PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Kota Tinggi, Johor itu berkata, sekiranya pengundi Pekan tidak mahu menyokong BN atau Pakatan Harapan, beliau boleh dijadikan sandaran.

BACA: PM Najib bakal pertahankan Pekan dari tiga pencabar

BACA: Tiada masalah BN pertahankan Pekan dan empat DUN di bawahnya

BACA: 'Game On', Pekan dan Langkawi!

Berbalik kepada soalan tadi, media cuma dapat menyimpulkan dua perkara. Sama ada Datuk Seri Najib tidak ambil pusing siapa jua yang cuba mencabarnya, atau sememangnya Zahid Md Arip itu bukan siapa-siapa di mata Perdana Menteri.

Justifikasinya, Pekan ini merupakan kawasan yang dipegang beliau selama sepuluh penggal, dan parlimen ini diwarisi dari ayahandanya Tun Abdul Razak, bermula tahun 1976.

Sejurus pemergian Perdana Menteri kedua itu pada 14 Januari, 1976, satu pilihan raya kecil diadakan bagi menentukan wakil rakyat seterusnya. Dan ketika hari pengundian pada 21 Februari, Datuk Seri Najib, yang ketika itu berusia 23 tahun, diisytiharkan menang tanpa bertanding.


Pada pilihan raya umum 1978, Datuk Seri Najib mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 9,533 undi, PRU 1986 (10,808), PRU 1990 (10,467), PRU 1995 (10,793), PRU 1999 (241), PRU 2004 (22,922), PRU 2008 (26,464), dan PRU 2013 (35,613).

Walaupun baru mengikuti programnya di Pekan selama empat hari bermula 26 April lepas, boleh katakan keyakinan beliau yang menebal itu ada asasnya. Bak kata penduduk tempatan, ini kawasan Perdana Menteri.




BACA: Saya terus setia bersama Pekan - PM Najib

Dan kalau ikut klasifikasi Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang sering membahagikan tahap sokongan kawasan itu kepada tiga iaitu hitam (bahaya), kelabu (samar-samar) dan putih (selamat, Pekan ini putih seputih-putihnya.

Ketika mengikuti rangka kerjanya di Lembah Klang sepanjang bermulanya tempoh pembubaran Parlimen, Datuk Seri Najib lebih berhati-hati dalam menentukan permainan kata dalam ucapan beliau.

Namun di Pekan, ibarat semuanya bertukar. Setiap kata-katanya dinanti-nantikan para wartawan, kerana beliau akan berubah ‘mood’.

Dari defensif ke menyerang habis-habisan. Walaupun ada kenyataan yang agak kontroversi, barangkali Datuk Seri Najib sudah membuat perkiraan risiko atau ‘risk calculation’.

Malah ada juga kenyataan beliau sewaktu berucap yang kadang-kala membuatkan wartawan memandang sesama sendiri, kenyataan bersifat kontroversi yang kadang-kala membuatkan media alternatif atau pro haluan kiri juga tercengang.

Tetapi, apa yang pastinya Pekan ini padang permainan beliau, tidak perlu beliau bercerita panjang mengenai soal isu nasional, sebaliknya pengundi di sini hanya mahu mendengar apa janji beliau untuk kawasan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengundi di sini mahu dengar apa justifikasi bagi menidakkan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pemerintahan negara.

Dan yang lebih penting, pengundi di sini mahu dengar apa janji beliau dan BN untuk mengurangkan resah pengundi mengenai isu yang lebih dekat di hati seperti kos sara hidup, isu perumahan, pendidikan dan sebagainya.

Dan apa yang menjadi keutamaan Jentera BN Pekan ini, bukan soal menang atau kalah, tetapi lebih kepada mencapai sasaran meningkatkan majoriti undi sokongan kepada 40,000.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pekan merupakan kawasan yang mencatat bilangan pengundi terbesar di negeri Pahang iaitu sebanyak 89,889 pengundi daripada keseluruhan 823,928 pengundi.

Pengundi Melayu di parlimen ini mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 78,048 atau 87.79 peratus, pengundi Cina sebanyak 1,784 atau 2.01 peratus, pengundi India sebanyak 725 atau 0.82 peratus, Bumiputera Sabah sebanyak 205 atau 0.23 peratus, dan Bumiputera Sarawak sebanyak 425 orang atau 0.28 peratus.

Namun bagi pengundi masyarakat Orang Asli pula mencatatkan bilangan sebanyak 6,991 orang atau 7.86 peratus, jumlah yang terbesar di Pahang.

Selepas ini, Datuk Seri Najib dijadualkan untuk melawat Sabah dalam progam sehari bersama rakyat di sana. Sama-sama kita tunggu apa pula respons pengundi di negeri Bawah Bayu itu.